Keratan akhbar : GeODex’2023 ‘buka mata’, perkukuh pengetahuan orang ramai berhubung kepentingan bidang Ukur Geomatik

POLITEKNIK UNGKU OMAR
02 October 2023
Lain-Lain

Perak Kini, 18 September 2023

IPOH – Penganjuran Hari Terbuka dan Pameran Geomatics 2023 (GeODex’2023) buat julung kali oleh Politeknik Ungku Omar (PUO) berjaya membuka mata serta memperkukuhkan pengetahuan3 orang ramai mengenai kepentingan bidang Ukur Geomatik.

Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah berkata, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Jurukur Tanah Bertauliah Malaysia (Pejuta) serta Jurukur Radian dan Jurukur Makhtar termasuk penglibatan alumni PUO dan pemain industri yang berkaitan.

Menurutnya, program tersebut mendorong penggunaan teknologi terkini dalam pengukuran dan pemetaan, serta mempersiapkan graduan yang kompeten dan berdaya keusahawanan.

“Program ini juga menyaksikan pemeterian kerjasama dengan Pejuta meliputi aspek penyediaan tempat untuk latihan industri pelajar dan sangkutan industri untuk pensyarah, perkongsian kepakaran industri sebagai pensyarah pelawat, sumbangan peralatan serta geran penyelidikan.

“Selain itu, GeODex’2023 turut menghargai sokongan aktif alumni Geomatik PUO dalam mempromosikan kursus tersebut sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) program latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang berprestij,” katanya di sini pada Isnin.

Katanya, pelbagai aktiviti telah diadakan dan menarik minat lebih 500 orang pengunjung seperti pameran peralatan ukur, ceramah oleh Pejuta berhubung ‘Discovering the World through Geomatic by Expert’ dan ‘Future Ready Surveyor,’ serta perkongsian ilmu tentang ‘Asas Falak Dalam Penentuan Arah Kiblat dan Waktu Solat’ dan demonstrasi pengendalian drone telah dianjurkan dalam program ini.

Tambahnya, pelbagai agensi, termasuk Pusat Hidrografi Negara, Jabatan Mufti Perak (bahagian Falak), Jabatan Ukur dan Pemetaan Negara, dan beberapa agensi swasta yang terdiri daripada Alumni Ukur Geomatik, PUO, turut serta dalam program ini.

“Semoga usaha ini dapat membantu memberikan pencerahan terutamanya kepada pelajar sekolah untuk memilih bidang Ukur Geomatik sebagai pilihan pendidikan tinggi serta laluan kerjaya di masa hadapan.

Langkah proaktif ini turut merapatkan hubungan antara alumni dan institusi pendidik,” katanya.

#PerakKini #PUO #Pejuta #geomatik #RBZ

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti