Keratan Akhbar : Graduan digalak buat ciptaan, jadi usahawan sebagai kerjaya

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
21 August 2024
Lain-Lain

PAHANGMEDIA , 10 Ogos 2024

KUANTAN, 10 OGOS 2024 : Graduan digalakkan membuat ciptaan ataupun inovasi berdasarkan kreativiti selain turut menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sebagai kerjaya masa hadapan mereka.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata ini memandangkan persaingan sengit dalam dunia pekerjaan masa kini.

“Perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi perlu diterokai supaya kita tidak ketinggalan dalam bidang ini. Para graduan juga adalah sentiasa digalakkan untuk membuat ciptaan ataupun inovasi berdasarkan kreativiti serta turut serta dalam bidang keusahawanan.

“Ini bagi membolehkan saudara saudari membuat penyesuaian atau adjustments demi masa depan.

“Sememangnya saudara dan saudari ingin bekerjaya di bidang yang dipelajari tetapi ada kalanya ini tidak berlaku. Persaingan dalam dunia pekerjaan memerlukan kita merebut setiap peluang yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) kali ke-45 mewakili Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Instruksional Dan Pembelajaran Digital Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), YM. Tengku Besaruddin Shah Tengku Yaakob; dan Pengarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, YBrs. Encik Hisamudin Mohd Tamim.

Tambah beliau, adalah sangat penting juga kepada para graduan untuk mendapatkan kemahiran dan kepakaran profesional dalam bidang-bidang tertentu.

“Saya juga ingin tekankan di sini bahawa, adalah penting selain mendapat kemahiran dan kepakaran profesional dalam bidang-bidang tertentu di POLISAS, latihan dan pendedahan minda untuk berfikir secara menyeluruh dan analitis juga diperlukan.

“Peluang pendidikan dan latihan dalam bidang teknik dan vokasional telah memberi pilihan kepada sebilangan pelajar yang berminat dalam bidang-bidang ini dan juga untuk memenuhi keperluan permintaan tenaga mahir,” katanya.

Seramai 485 graduan diraikan dalam majlis konvokesyen Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) kali ke-45 hari ini

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti