Keratan Akhbar : Graduan Kolej Komuniti, Politeknik disasar lanjut pengajian

UKK JPPKK
19 September 2023
Berita RTM

Berita RTM, 18 September 2023

NILAI, 18 September- Lebih ramai graduan lepasan Kolej Komuniti dan Politeknik disasarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di samping bekerja dengan dengan pihak industri serta menjadi penyedia pekerjaan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Dr. Mohd Zahari Ismail, selain akademik, kemahiran rentas bidang mampu menjadi pemudahcara dan penjana yang memberi impak kepada negara serta keadaan ekonomi semasa.

Mohd Zahari berkata kebolehpasaran graduan lepasan kolej komuniti dan politeknik dalam bidang pekerjaan telah mencapai 90 peratus.

“Kita menyasarkan graduan kita boleh menyambung pelajaran dan bekerja dengan majikan undustri selain menjadi penyedia pekerjaan. Mereka boleh membuka perniagaan sendiri.

“Kita menganggap kolej komuniti sebagai tempat untuk memulakan perniagaan dengan memiliki ilmu dan membina karier dan masa depan mereka,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.

Sementara itu, seorang graduan orang kurang upaya (OKU) kerdil Engku Intan Baizira Engku Maleki, 23, yang ditemui RTM telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kolej Komuniti Kluang.

Engku Intan yang berasal dari Mersing, Johor itu merupakan graduan Sijil Terapi Kecantikan dan Spa dari Kolej Komuniti Kluang, Johor.

“Saya cuba mengaplikasikan ilmu yang dipelajari untuk menjalankan perniagaan. Saya juga ingin tunjukkan kepada semua bahawa orang seperti saya juga boleh mempunyai perniagaan sendiri,” katanya.

Manakala graduan OKU penglihatan Nasrul Izzuddin Zulkifli, 22, dari Kolej Komuniti Kluang pula menerima anugerah pelajar cemerlang bagi Sijil Servis Kenderaan Ringan.

“Saya anggap kekurangan saya sebagai satu cabaran. Walaupun cacat penglihatan, namun masih banyak cara untuk terus berjaya,” katanya kepada RTM.

Seramai 1,476 graduan dari Kolej Komuniti Negeri Johor, Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka menerima sijil dan diploma masing-masing pada majlis konvensyen tersebut.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti