Keratan Akhbar: Impian Anak Penjual Kuetiau Goreng

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
25 November 2024
Harian Metro, KERATAN AKHBAR

Harian Metro, 25 November 2024

Impian anak penjual kuetiau goreng

“Saya kini lebih yakin menghadapi segala ujian yang datang. Saya percaya pilihan ini membanggakan arwah ibu dan arwah ayah,” kata Arif Mahmudi Shamsul, 18, yang pernah hampir melupakan hasrat melanjutkan pelajaran kerana kemiskinan.

Dia yang melanjutkan pengajian di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di Kulim, Kedah selepas dipujuk pensyarah PTSB juga merasakan dirinya lebih berdisiplin dalam setiap langkah diambil.

Menceritakan kembali kisahnya, Arif berkata, dia sebelum ini menerima dua tawaran melanjutkan pengajian daripada dua institusi iaitu dalam bidang Diploma Kejuruteraan Bahan di sebuah universiti dan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (DEE) di PTSB.

“Ketika itu, saya menolak tawaran daripada universiti kerana arwah ayah tidak mampu menanggung yuran pengajian yang agak tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Malah, saya hampir menolak tawaran PTSB kerana mahu bekerja dulu dan membantu arwah ayah meringankan beban keluarga,” katanya kepada Harian Metro.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, kehidupannya bukanlah mudah memandangkan ibunya sudah meninggal dunia ketika dia baru berusia tujuh tahun.

Menurutnya, bapanya hanya berniaga sendiri secara kecil-kecilan dengan menjual rojak dan kuetiau goreng.

“Kakak sulung bekerja sebagai juruwang manakala kakak kedua dan abang pula bekerja di kilang. Walaupun mereka sudah bekerja, tanggungjawab menjaga adik beradik yang lebih muda terletak pada bahu saya.

“Namun adik saya yang kelima terpaksa berhenti sekolah akibat masalah kewangan yang dihadapi dan kini bekerja di kedai makan dan dua lagi belajar di Madrasah Nurul Iman, Batu 5, Sik, Kedah.

Dia berkata, pensyarah PTSB, Sharipah Daud menghubungi bapanya memberitahu PTSB mahu menolong.

“Ketika itu beliau bersungguh-sungguh meyakinkan ayah saya bahawa pihak politeknik ada menyediakan bantuan bagi pelajar kurang berkemampuan seperti saya melanjutkan pelajaran ke institusi berkenaan.

“Waktu itu, arwah ayah kata terimalah dulu sebab yuran pun murah dalam RM200 saja dan selepas dua hari berfikir, saya pun terima kerana memang impian daripada dulu mahu sambung belajar.

“Puan Sharipah juga ada memaklumkan yang saya layak menerima Bantuan Zakat Kedah sebanyak RM800 serta bantuan lain daripada Pusat Dakwah dan Tarbiah Al-Jazari PTSB sebanyak RM300 dan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (JHEP).

“Beliau juga berpesan yang saya tidak perlu risau akan bebankan keluarga dan hanya fokus pada kepada pelajaran saja,” katanya.

Namun, siapa sangka Arif diuji sekali lagi dengan kematian bapanya akibat sakit jantung dua hari sebelum dia mendaftarkan diri di PTSB.

“Waktu itu saya hampir membatalkan niat untuk menyambung pelajaran kerana takut tidak mampu membayar yuran pengajian, tapi mujur ada Pak Long dan Mak Long yang membantu dengan memberi sedikit duit poket. Sedikit sebanyak ia memberi saya kekuatan dan semangat untuk teruskan pengajiannya,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti