Keratan Akhbar : Inovasi IoT dalam penanaman cendawan, pengurusan umrah ungguli NERIEC’24

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
15 July 2024
Lain-Lain

MyBERITA , 23 Mei 2024

23 Mei, Kuantan – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berjaya mencipta kejayaan dalam pertandingan National Education, Research, Innovation and Entrepreneurship Conference (NERIEC’24) dengan dua inovasi utamanya iaitu, IoT Based Compact Mushroom House (Muchkit) dan aplikasi pengurusan umrah I-DAM UMRAH masing-masing memenangi Anugerah Inovasi (Fizikal) dan Anugerah Inovasi (Digital).

Muchkit memanfaatkan teknologi Internet of Things (IoT) dalam penanaman cendawan, dan I-DAM UMRAH merupakan aplikasi pengurusan umrah berfokuskan kepada dam (denda).

Selain itu, inovasi Muchkit turut meraih Anugerah Khas IR4.0 bagi kategori inovasi fizikal, manakala Evermist As A Sustainable Outdoor Cooling Station dari POLISAS menerima anugerah yang sama bagi kategori inovasi digital. Penerima Anugerah Khas ini menerima hadiah wang tunai RM 200, sijil, dan plak.

Sebanyak 69 penyertaan dari 18 institusi pendidikan seluruh negara telah dipertandingkan dalam dua kategori utama iaitu Penulisan dan Pembentangan Kertas Kajian serta Pertandingan Inovasi.

Penyertaan ini merangkumi bidang Kejuruteraan dan Teknologi, Sains Teknikal, Sains Sosial, Agroteknologi, Sains Makanan dan Halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Perdagangan, serta Keusahawanan.

Dalam kategori Anugerah Inovasi (Fizikal) dan (Digital), POLISAS turut memenangi gelaran Naib Juara menerusi projek inovasi Solar Panel Tracker Model dan Sistem IAMS (Integrated Asset Management System). Naib Juara membawa pulang wang tunai RM 300, sijil, dan plak.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh inovasi Kepingan Tomato (Fruit Leather) dari POLISAS dan inovasi CAREPTM dari Kolej Poly-Tech Mara Kuantan, yang masing-masing menerima wang tunai RM 200, sijil, dan plak.

Kertas Kajian Terbaik Keseluruhan dimenangi oleh Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dengan tajuk ‘Mengkaji Kesan Kelas Pengukuhan Bersasar Ke Atas Kebolehjawaban Pelajar Dalam Peperiksaan Akhir bagi Kursus Matematik Kejuruteraan Elektrik (DBM30043)’, manakala Pembentang Terbaik Keseluruhan dirangkul oleh Noor Hidayah Jamaludin dari Politeknik Muadzam Shah dengan kertas penyelidikan ‘Ketagihan Media Sosial Dalam Kalangan Pelajar Kejuruteraan Politeknik’. Kedua-dua pemenang ini membawa pulang wang tunai RM 300 beserta sijil.

NERIEC’24 juga menampilkan TikTok Challenge bagi mencari ikon ESG (Environment, Social and Governance) dalam dunia keusahawanan, yang bertujuan menggalakkan perniagaan inovatif yang memberi tumpuan kepada kesan alam sekitar dan sosial yang positif.

Majlis Perasmian Penutup NERIEC’24 peringkat kebangsaan telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Abd Rahman Daud, Pengarah Urusan Binaan Desjaya Sdn. Bhd., yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri POLISAS. Hadir sama adalah Timbalan Pengarah Unit Inovasi, Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Anwar Hamid @ Pa serta Pengarah-Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Pahang.

Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim, menyatakan bahawa NERIEC’24 anjuran Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialan (UPIK) POLISAS dan Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK ini merupakan platform untuk mengembangkan bakat dan kreativiti peserta dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Program ini juga bertujuan melahirkan graduan yang berdaya saing dan menjadikan Politeknik serta Kolej Komuniti sebagai peneraju dalam bidang TVET, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pengajian Tinggi yang menekankan ekosistem inovasi.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti