Malaysia Gazette, 27 Ogos 2023
SHAH ALAM – Kadar kebolehpasaran graduan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) kini mencecah 96.3 peratus di mana lulusan peringkat ijazah sahaja memperoleh 100 peratus pada 2022.
Pengarah Urusan TXMR Sdn Bhd, Tengku Mohd Farid Tengku Hassim berkata, pencapaian itu mencerminkan penerimaan industri serta bukti graduan dari institusi itu sentiasa menjadi pilihan majikan.
“Keputusan graduan memilih PSA sebagai laluan melanjutkan pelajaran adalah satu pilihan tepat memandangkan graduan TVET sememangnya menjadi rebutan pihak industri kerana kualiti dan kemahiran dimiliki.
“Semoga kecemerlangan para graduan diterus dan dikembangkan apabila memasuki pasaran kerja kelak sekali gus memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara,” katanya berucap pada perasmian Majlis Konvokesyen PSA ke-24 di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah PSA, Dr Norhayati Zakaria.
Tengku Mohd Farid juga berkata, pekerjaan baharu seperti automation, internet of things, artificial intelligence, big data analysis dan blockchain semakin berkembang dan mula mengambil alih pasaran kerja.
“Sedar atau tidak, teknologi kini mula menghapuskan fungsi manusia dalam pekerjaan seperti pelayan makanan, operator pengeluaran, kerani kemasukan data, setiausaha eksekutif, akauntan dan juruaudit.
“Sehubungan itu, untuk melahirkan graduan yang mampu bersaing dengan perubahan global, mahasiswa perlu diterapkan dengan ilmu dan kemahiran tinggi seiring perkembangan industri,” katanya.
Dalam pada itu, penguasaan komunikasi, kepimpinan, keusahawanan, pembelajaran berterusan, pengurusan maklumat serta etika dan moral profesional perlu diterapkan kepada graduan sebelum memasuki pasaran.
“Ini sekali gus mempersiapkan graduan ke arah Revolusi Industri 5.0 atau dikenali sebagai Masyarakat 5.0 berintegrasi dengan teknologi bagi menyelesaikan masalah sosial yang timbul dalam kehidupan seharian manusia.
“Kami turut komited bersama kerajaan bagi membantu institusi pengajian tinggi dalam memenuhi keperluan kurikulum berpacu industri dan tersedia masa hadapan,” katanya lagi.