Keratan Akhbar : Kembara Amal Ramadan PUO: Pensyarah santuni 190 keluarga Orang asli

POLITEKNIK UNGKU OMAR
13 October 2023
Lain-Lain

PERAKTASTIC , 20 APRIL 2023

IPOH: Sebanyak 190 buah keluarga orang Asli di Kampung Tonggang, Tanjung Rambutan dan Kampung Sungai Baduk Chemor, Ipoh disantuni pensyarah dari Politeknik Ungku Omar (PUO) dari Jabatan Pengajian Am sempena Program Kembara Amal Ramadan Sabtu lalu.

Bertemakan ‘Rahmat Ramadan Rezeki Dikongsi Bersama’, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dianjurkan Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ungku Omar dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Kinta, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Perak, Masjid Syed Jamalullail Seri Ampang, Surau Diri Jumaat Al- Ansar, Seri Palma, Bandar Seri Botani, Majlis Perwakilan Pelajar serta Pusat Islam PUO. Program ini dimulakan dengan majlis penyampaian sumbangan barang keperluan kepada wakil keluarga di Kampung Tonggang dan seterusnya kepada keluarga di Kampung Sungai Baduk. Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademik PUO, Dr Izwah Ismail dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Dr Mohd Azam Mohd Dali. Turut hadir Pengerusi Pusat Islam PUO Dr. Supa’at Zakaria; Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Perak Ustaz Mohamad Saifuddin Abdul Latiff dan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia Daerah Kinta, Norfazrin Ramli. Antara sumbangan yang diterima oleh wakil-wakil keluarga orang Asli ini adalah pek makanan, wang tunai serta pemberian duit raya kepada anak-anak orang Asli. Beberapa pengisian aktiviti sepanjang sesi kembara ini adalah sesi gotong royong memasak untuk majlis berbuka puasa, kelas tahsin solat untuk anak-anak orang Asli, jamuan berbuka puasa, tahlil dan doa selamat, solat maghrib, tazkirah Ramadan dan solat terawih sebagai penutup program.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti