Keratan Akhbar: KKBDA Jalin Kolaborasi Pendidikan TVET dan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2024

KOLEJ KOMUNITI BANDAR DARULAMAN
08 August 2024
KERATAN AKHBAR, Lain-Lain

JITRA, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA) telah memeterai Nota Kerjasama Strategik bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu di sebuah hotel, di sini kelmarin.

Program kolaborasi berimpak tinggi ini selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 yang menggariskan hala tuju yang jelas dalam memperkukuh pembangunan bakat dan modal insan negara.

Menurut Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kedah dan Perlis Haji Rosli Idris, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) berhasrat agar pendaftaran atau enrolmen pelajar politeknik dan kolej komuniti mencapai 120,000 orang di seluruh negara menjelang tahun hadapan.

“Dengan adanya kolaborasi ini diharap dapat membantu mencapai peningkatan jumlah bilangan kemasukan pelajar ke Kolej Komuniti Bandar Darulaman dan Kolej Komuniti Bandar Darulaman Cawangan Jerlun melalui penglibatan langsung oleh pihak institusi pendidikan menengah,” ujarnya.

Kolaborasi tersebut melibatkan 25 buah sekolah menengah di Daerah Kubang Pasu, empat rakan strategik iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Bahagian Elektrikal dan Mekanikal Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kolej Vokasional Alor Setar dan Pondok Moden Darussalam, Changlun.

Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu Mukhtar Mansor dalam ucapannya, berkata kolaborasi melibatkan sekolah menengah ini adalah julung kali diadakan di negeri Kedah.

“Saya amat berharap kolaborasi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah khususnya untuk membantu pelajar mendapatkan kemahiran terkini secara berterusan termasuk menyambung pengajian di kolej komuniti juga menambah pengetahuan melalui Program Pembelajaran Sepanjang Hayat,” katanya.

Pengarah KKBDA, berkata pihaknya akan terus merealisasikan Misi JPPKK iaitu memanfaat sepenuhnya perkongsian pintar dengan pihak berkepentingan untuk faedah bersama.

“Semoga pelaksanaan nota kolaborasi ini dapat memberi impak yang positif kepada institusi, sekolah serta agensi terlibat demi memastikan kepentingan pendidikan kepada para pelajar dan komuniti sentiasa efektif dan berterusan,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti