Kedah Gezette, 11 Mac 2024
KUALA LUMPUR – Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA) membuktikan bahawa institusi ini merupakan salah satu penyedia utama kepada komuniti bagi meningkatkan kemahiran TVET terkini dalam bidang keusahawanan.
Menyahut saranan dan mempergiat aktiviti keusahawanan di institusi, KKBDA berjaya diiktiraf Anugerah Institusi Kolej Komuniti Terbaik sempena Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 (AKKPT) 2023 yang berlangsung malam ini. Kali terakhir KKBDA bersaing di pentas ini sebagai finalis ialah pada tahun 2016 dan 2018.
KKBDA yang membawa pulang RM 120,000 dan trofi menerima anugerah ini yang disampaikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.
Pastinya, kemenangan ini sangat bermakna kepada seluruh warga KKBDA. Anugerah ini adalah platform pengiktirafan tertinggi kementerian terhadap komitmen jitu dan usaha tanpa jemu institusi pendidikan tinggi, tenaga pengajar, para pembimbing, pelajar dan graduan, untuk memperkasakan agenda keusahawanan di IPT, selain meningkatkan persaingan sihat dan menyuburkan semangat keusahawanan.
Pengarah KKBDA, Salmah Ijam dalam ucapannya berkata Kolej Komuniti terbukti menjadi peneraju institusi TVET yang unggul dan berjaya melahirkan komuniti yang berjiwa keusahawanan.
Bukan itu sahaja, peserta kursus yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan menyertai program keusahawanan KKBDA ini dilihat mampu menjana pendapatan lebih besar jika terus konsisten mengikuti latihan dan kemahiran yang disediakan.
“Dengan kemudahan dan peluang yang ditawarkan kepada komuniti, diharap ia terus mencetus suntikan semangat kepada peserta untuk menambahkan ilmu dan lebih kreatif serta cemerlang dalam bidang yang diceburi,” katanya lagi.
Semoga dengan kejayaan hebat ini dapat membantu lebih ramai komuniti mempelajari kemahiran TVET dan keusahawanan selari hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperhebatkan lagi sektor pendidikan tinggi negara supaya hala tuju dan usaha meningkatkan keterlihatannya di peringkat global dapat direalisasikan dengan jayanya.