Malaysia Gazette, 4 Disember 2023
PUTRAJAYA – Program Tansformasi Politik 2023 hingga 2030 merencanakan untuk menaik taraf sebuah politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX), kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi itu, sebagai langkah pertama, Politeknik Ungku Omar (PUO) akan dinaik taraf kepada politeknik APEX bagi merealisasikan program tersebut.
“Institusi ini akan menawarkan pelbagai program yang lebih advanced dan kompetitif.
“Komposisi peringkat pengajian institut teknologi ini akan menyaksikan peningkatan tawaran sehingga 50 peratus program ijazah.
“Kesemua ini disusun ke arah mengembangkan politeknik APEX ini menjadi sebuah Institut Teknologi,” katanya dalam ucapan pada majlis Pelucuran Transformasi Politeknik 2023-2033 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamed Khaled berkata, penubuhan politeknik APEX pertama negara itu akan merujuk kepada Institut Teknologi Bandung, Indonesia sebagai model perbandingan yang berprestij tinggi.
Sedar akan kepentingan kerjasama dengan pihak industri, Khaled berkata KPT mesti melakukan pendekatan yang pelbagai dan inovatif.
Justeru itu, beliau menggariskan empat langkah pemantapan kerjasama antara politeknik dengan industri antaranya memanfaatkan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) sebagai platform khusus yang akan merancakkan hubungan serta kerjasama Kerajaan, industri dengan institusi TVET.
“Kementerian yakin dengan kekuatan lebih 10 persatuan yang bernaung di bawah badan ini, ekosistem TVET negara akan lebih selari dengan perkembangan industi.
“Apatah lagi, setakat ini, lebih daripada 50 persatuan industri mewakili 10,000 syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GITC,” kata beliau.
Antara lain adalah memastikan mandat TVET Collaboration Hub (TCH) yang telah dipersetujui dalam Majlis TVET Negara (MTVET) tahun lepas digerakkan dengan cara yang berimpak, melonjakkan 12 buah Centre of Technology (COT) agar menjadi pelopor dalam penghasilan teknolosi serta inovasi dan terakhir mempelbagai pelaksanaan pendekatan Industry on Campus (IOC) dengan lebih meluas, terutamanya dengan mengambil pandangan semua pihak termasuk cadangan daripada Ahli-Ahli Majlis Penasihat Industri-Politeknik (PIAC).
Mohamed Khaled berkata, setakat ini golongan Orang Kurang Upaya (OKU) hanya tertumpu kepada golongan OKU pekak dan bisu sahaja namun mulai tahun hadapan semua OKU yang mampu untuk mengikuti kursus TVET akan diberikan peluang menyertai program tersebut.
“Semua OKU yang mampu lakukan latihan fizikal dan menjalani latihan praktikal akan turut diberikan peluang menyertai semua program di politeknik.
“KPT bersedia menawarkan lebih banyak tempat kepada mereka dalam dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang,” katanya.
Setakat ini, 7,600 tempat dikhususkan untuk lepasan kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), 1,000 tempat setahun untuk pusat asasi TVET, 500 tempat setahun untuk lepasan sekolah tahfiz secara berperingkat, 210 tempat setahun untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan 100 tempat setahun untuk Orang Asli. – MalaysiaGazette