Utusan Malaysia, 14 September 2023
Lebih 200 pelajar berkeperluan khas yang menyambung pengajian di politeknik dan kolej komuniti seluruh negara mempamerkan ‘taring’ dengan menunjukkan prestasi membanggakan dalam bidang akademik serta kokurikulum.
Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Zainab Othman berkata, hal ini sudah ada dalam kalangan pelajar itu yang telah dihantar ke pertandingan di luar negara dalam bidang kemahiran dan sukan.
“Sehingga kini pelajar-pelajar politeknik dan kolej komuniti memang menunjukkan prestasi membanggakan di peringkat institusi, negara dan antarabangsa.
“Pelajar-pelajar ini (berkeperluan khas) tidak terhad kepada pekak dan bisu, malah merangkumi pelbagai kekurangan fizikal termasuk kerdil dan buta warna. Kita ambil mereka dan daftarkan ke dalam program-program bersesuaian. Kita anggap kekurangan mereka sebagai kelebihan buat politeknik dan kolej komuniti terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-36, di sini hari ini.
Zainab memberitahu, melihat kepada perkara itu pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menambah lagi bilangan pelajar berkeperluan khas untuk menyambung pengajian di kedua-dua institusi berkenaan pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain Zainab berkata, berlaku perkembangan luar biasa pada sesi kemasukan pelajar kali ini apabila bilangan kemasukan pelajar ke politeknik dan kolej komuniti melonjak lebih 20 peratus berbanding sebelum ini.
Katanya, beliau menganggap ia sebagai satu perkembangan positif buat pihak jabatan selepas berlaku trend kekurangan minat dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Situasi ini menunjukkan trend kini telah berubah dengan ramai pelajar berlumba-lumba untuk mengikuti pengajian di IPT termasuk memasuki program-program di politeknik dan kolej komuniti.
“Ia sekali gus menunjukkan politeknik dan kolej komuniti terus menjadi pilihan dalam kalangan pelajar kerana kita membekalkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja dewasa ini,” ujarnya.-UTUSAN