Keratan Akhbar: Pensyarah Sebak

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
27 November 2024
Harian Metro, KERATAN AKHBAR

Harian Metro, 26 November 2024

Kuala Lumpur: Kisah Arif Mahmudi Shamsul mendapat perhatian ramai termasuk pensyarah di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) apabila hampir menolak bagi menyambung pengajian di institusi berkenaan kerana masalah kewangan yang dihadapi.

Pensyarah, Sharipah Daud, 42, berkata, selaku penasihat akademik di PTSB, beliau serta pensyarah lain memikul tanggungjawab besar dalam mengenal pasti masalah dihadapi oleh semua pelajar terutamanya yang kurang berkemampuan.

“Sebagai penasihat akademik di sini, ia memang menjadi satu amanah bagi kami dalam mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah dan disebabkan itu, ianya penting bagi kami untuk mengetahui latar belakang pelajar dahulu sebelum membantu mereka.

“Di PTSB, salah satu kelebihannya adalah yuran pengajian yang dikenakan murah iaitu sebanyak RM200 sahaja dan bantuan lain yang disediakan diurus oleh Pusat Islam (Pusat Dakwah dan Tarbiah Al-Jazari) serta Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar PTSB.

“Bantuan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah adalah Bantuan Awal Kemasukan Ke Institusi Pengajian Tinggi (iBAKIPT) dan kedua-duanya adalah bantuan secara one-off,” katanya.

Sharipah berkata, sebaik saja menghubungi bapa Arif, barulah beliau mengetahui kisah dan masalah yang dihadapi keluarganya ketika itu.

Beliau berusaha memujuk dan meyakinkan bapa Arif bahawa PTSB akan membantu anaknya untuk meneruskan cita-citanya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Ketika itu, saya tanya kenapa tolak tawaran dan bapa Arif menjawab dia tidak mampu menanggung kos perbelanjaan kemasukan ke universiti yang mencecah ribuan ringgit dan terpaksa menolak tawaran pilihan pertama.

“Sebaik mendengar berita itu, saya jadi sebak. Jadi saya yakinkan juga bapanya untuk pujuk Arif dan juga memaklumkan bahawa yuran di PTSB murah saja iaitu RM200 dan pihak politeknik juga akan membantu Arif sekiranya ada masalah.

“Saya juga memberi masa kepada mereka untuk berfikir dan dalam tempoh dua hari, bapanya beritahu bahawa Arif bersetuju untuk menyambung pengajian PTSB,” katanya.

Menurutnya, penting bagi pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya kerana generasi muda inilah yang diperlukan untuk memacu ekonomi negara pada masa depan.

Justeru, pendidikan yang tinggi amat penting bagi memastikan mereka dapat memainkan peranan itu dengan efektif.

Sharipah Daud (kanan) bertemu mata dengan Arif Mahmudi sewaktu hari pendaftaran di PTSB

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti