Keratan Akhbar : Perkasa penduduk luar bandar menerusi TVET

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
13 August 2025
BERITA, KERATAN AKHBAR, Kolaborasi, Komuniti, Utusan Sarawak

KAPIT – Program POLYCC Sarawak BAKaT : Bimbingan, Aplikasi Kemahiran, dan Transformasi (BAKaT) dianjurkan selaras dengan matlamat kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negeri ini.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata inisiatif itu bertujuan memperkasakan masyarakat luar bandar dengan kemahiran teknikal yang relevan dalam pelbagai bidang seperti kulinari, aplikasi digital, pelancongan, teknologi hijau (solar) dan keselamatan elektrik.

“Prgram ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta mengenai potensi keusahawanan dalam bidang yang diceburi, malah membolehkan mereka memahami keperluan industri semasa,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Rumah Panjang (Rh) Undi Langkau, Ng Plak Sungai Bena Sut Balleh, Kapit, semalam.

Beliau turut menegakan bahawa Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) komited untuk memastikan TVET menjadi tunjang utama dalam membangunkan tenaga kerja Sarawak yang berdaya saing.

“Melalui program seperti BAKaT, masyarakat luar bandar dapat menguasai kemahiran bernilai tinggi yang mampu meningkatkan taraf hidup merka. Program ini juga membolehkan institusi seperti politeknik dan kolej komuniti menyumbangkan kepakaran mereka kepada komuniti pedalaman,” tambahnya.

Wilson menekankan peranan penting ilmu dan kemahiran dalam membentuk individu yang berdaya saing, terutamanya dalam menghadapi arus pembangunan pesat.

“BAKaT membuka peluang kepada masyarakat pedalaman untuk memperoleh kemahiran melalui kursus pendek tanpa had usia.

“Selain itu, program khidmat masyarakat (CSR) yang melibatkan pelajar politeknik dan kolej komuniti serta penyelenggaraan elektrik turut dilaksanakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agensi kerajaan, syarikat swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terus bekerjasama dalam memperkasakan komuniti luar bandar menerusi pelbagai initiatif yang bermanfaat.

“Semoga usaha ini memberikan impak positif yang berkekalan kepada masyarakat rumah panjang di Kapit serta menjadi contoh kepada inisiatif serupa pada masa hadapan,” kata beliau.

Program selama dua hari itu mendapat sambutan lebih 100 penyertaan, membuktikan komitmen kerajaan negeri dan persekutuan dalam memperkukuh pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Sarawak selari dengan slogan “TVET Access for All” yang dilaungkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti Kuching (JPPKK), Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail serta Pengarah-Pengarah institusi POLYCC Sarawak.

(Kredit kepada akhbar Utusan Sarawak muka surat 4 bertarikh 24 Feb 2025)

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti