Keratan Akhbar : POLISAS santuni anak yatim Rumah Kebajikan Baitul Husna Kuantan

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
07 June 2024
Lain-Lain

MyBerita, 29 Mac 2024

KUANTAN – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) melalui Badan Beruniform Pandu Puteri Klover POLISAS dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan kecil POLISAS meraikan anak-anak yatim dan asnaf dalam Majlis Iftar Santunan di Rumah Kebajikan Baitul Husna, Kampung Pelindung, Kuantan, pada Rabu.

Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim memberitahu program tersebut merupakan inisiatif untuk menyemarakkan suasana Ramadan dan memberi sokongan kepada komuniti yang memerlukan.

“Kami gembira dapat menyambut kehadiran 33 anak-anak dari Rumah Kebajikan Baitul Husna dalam majlis ini. Program ini juga merupakan satu tradisi yang dilaksanakan oleh anggota Pandu Puteri setiap Ramadan untuk meraikan mereka serta memberikan sumbangan duit raya dan beg cenderahati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Selain daripada itu, kami juga telah menyampaikan sumbangan dana bernilai RM1800 bagi membantu perbelanjaan pengoperasian Rumah Kebajikan Baitul Husna. Dana ini dikumpulkan oleh pelajar POLISAS dalam kursus MPU 24801, MPU24701 dan MPU24201 sebagai sebahagian daripada kurikulum Pandu Puteri yang memfokuskan kepada kemahiran kepimpinan, pengurusan, dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Sumbangan ini turut diperolehi daripada pelbagai pihak termasuk warga POLISAS, individu, serta Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Kuantan.”

Program ini tidak hanya terhad kepada santunan semata-mata, malah turut diadakan program Motivasi Menara Gading yang memberi pendedahan awal kepada proses pembelajaran di politeknik.

Turut hadir dalam majlis ini Setiausaha Kehormat Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang, Razana Fatin Abdullah@Razali, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil POLISAS, Huzaimah Hussin, Penolong Pengurus Rumah Kebajikan Baitul Husna, Zuraida Ismail, Timbalan Pengarah Akademik POLISAS, Wan Zuraida Wan Yusoff serta Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLISAS, Azad Muslim Muhammad.

Majlis yang penuh dengan keceriaan ini telah menunjukkan semangat kebajikan dan kesetiaan POLISAS terhadap komuniti serta kesanggupan mereka untuk menyokong mereka yang memerlukan, memberikan harapan bahawa semangat kebersamaan dan kepedulian akan terus berkembang dalam kalangan institusi pendidikan dan masyarakat setempat.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti