Sinar Harian, 4 Disember 2023
PUTRAJAYA – Politeknik Ungku Omar (PUO) akan dinaik taraf sebagai politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merupakan langkah pertama Program Transformasi Politeknik 2023 hingga 2030 direncanakan untuk menaik taraf sebuah politeknik.
“Institusi ini menawarkan pelbagai program yang lebih advanced dan kompetitif,” katanya menerusi ucapan pada Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2033 di sini pada Isnin.
Menurutnya, komposisi peringkat pengajian institut teknologi ini akan menyaksikan peningkatan tawaran sehingga 50 peratus program ijazah.
“Jika tidak mencapai 50 peratus, ia tidak boleh menjadi sebagai Politeknik APEX,” katanya.
“Ia terutamanya kepada mereka yang sudah bekerja atau terlepas peluang mengikuti pengajian pada peringkat muda,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, selain keperluan untuk menguruskan isu kekurangan minat terhadap pendidikan tinggi dan bidang TVET, adalah kritikal untuk kementerian memastikan akses kepada pengajian politeknik diperkemas dan diperluas.
“Kekurangan capaian dan ekosistem yang tidak anjal bukan sahaja akan merencat perkembangan golongan muda sebagai modal insan masa depan.
“Malah, akan memberi kesan langsung kepada keupayaan negara menjayakan agenda pembangunan,” katanya.