Keratan Akhbar : PROFIMA, 4 IPT kukuh hubungan dua hala

POLITEKNIK UNGKU OMAR
12 August 2024
Berita Harian

KUALA LUMPUR: Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (PROFIMA) memperkukuh hubungan dua hala bersama empat institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usaha merapatkan jurang antara pelajar dan industri kreatif.

Ia membabitkan kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM); Politeknik Metro Tasek Gelugor, Pulau Pinang; Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis dan Politeknik Ungku Omar, Perak.

Majlis Menerima Nota Kerjasama dan Surat Niat dari keempat-empat institusi itu disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang di Ekspo Buku Malaysia 2024 di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Presiden PROFIMA, Khalil Salleh, berkata pihaknya akan memberikan latihan teknikal kepada pelajar yang mengikuti program berkaitan industri kreatif terutama penerbitan video dan perfileman.

Katanya, kerjasama strategik itu termasuk membantu dalam pengubalan modul latihan, perkongsian pengalaman, kepakaran pemain industri dan penggunaan teknologi terkini dalam pembikinan filem.

“Setakat ini, kami sudah menjalinkan usaha sama dengan empat IPTA, tetapi ada lagi beberapa politeknik, universiti dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mula menunjukkan minat menjalin kerjasama.

“Kami sudah lama memulakan usaha mendidik pelajar dan mereka berminat dalam industri kreatif bagi meningkatkan tahap profesionalisme.

“Hubungan dua hala ini penting kerana kami melihat ada jurang besar di kalangan pelajar yang menyertai industri kreatif.

“Mereka tidak dapat terima sepenuhnya kerana teori dan latihan berbeza.

“Jika pelajar ada hubungan baik dengan industri, mereka sudah tahu hala tuju selepas tamat pengajian. Itu yang ingin PROFIMA wujudkan,” katanya kepada BH Online.

Jelas Khalil lagi, pihaknya merancang menganjurkan persidangan sempena Anugerah Perdana PROFIMA.

“Kami akan mengundang ahli akademik bagi membentangkan kertas kerja berkaitan cabaran potensi pelajar kreatif di negara ini.

“PROFIMA akan mengadakan jelajah lebih banyak politeknik dan kolej komuniti. Kalau dilihat PROFIMA lebih kepada filem, tetapi kandungan kreatif juga memerlukan kemahiran sama.

“Kami ingin bantu dari sudut kreatif, contohnya penerbitan video, skrip dan suntingan. Kalau faham tiada masalah untuk terbitkan apa sahaja video,” katanya.

Khalil berkata, ada penggiat industri mengambil pelajar IPT sebagai kru balik tabir, tetapi jumlahnya tidak ramai dan harap dapat diperluaskan.

“PROFIMA mempunyai banyak kemahiran dengan lebih 20 pengkhususan, jadi kami bertanggungjawab atas kempen pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang disarankan kerajaan,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti