Bernama, 18 September 2023
IPOH, 18 Sept (Bernama) — Promosi secara meluas termasuk di peringkat akar umbi perlu dilakukan bagi menarik minat golongan belia mempelajari sekali gus menceburi bidang geomatik yang menjadi antara komponen di bawah Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Presiden Pertubuhan Jurukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) Ezam Ariffin berkata hal ini kerana tahap pemahaman serta ilmu pengetahuan berkaitan bidang itu masih rendah meskipun ia antara profesion yang mempunyai nilai tambah serta menyumbang kepada pembangunan negara. “Profesion juruukur ini kita tak nampak hasilnya atau dalam bahasa mudahnya tidak glamor.Jadi, promosi itu seharusnya dilakukan secara meluas termasuk ke peringkat sekolah bagi memastikan minat itu dapat dipupuk dari awal.”
“Ini kerana kalau kita perhatikan, bidang geomatik tidak terhad kepada pengukuran sempadan, ukuran hak milik dan kejuruteraan sahaja, malah melibatkan disiplin yang lebihluas seperti penderiaan jauh, kartografi , Sistem Maklumat Geografi (GIS), geodesi, pemetaan utiliti, fotogrametri dan hidrografi ,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Geomatik danPameran 2023 di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini, yang turut melibatkan lebih 300 peserta terdiri dalam kalangan pelajar PUO dan sekolah.
Beliau berkata melihat kepada peranan geomatik yang merentasi pelbagai disiplin, ia menjadi bidang yang sangat mencabar dan berpotensi dalam pasaran kerjaya.
“Bidang ini mempunyai potensi dari sudut tawaran pekerjaan dan mana-mana individu yang menguasainya (geomatik) mampu pergi lebih jauh dan berjaya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PUO Dr Shamsuri Abdullah berkata program yang buat julung kali diadakan itu secara dasarnya memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami selain memupuk kesedaran berkenaan kepentingan geomatik khususnya dari aspek seni pengukuran, analisis, pengurusan dan pemaparan data spatial bumi serta alam bina. “Penganjuran program ini satu inisiatif yang baik seterusnya sebagai medium perkongsian pengetahuan dan pengalaman daripada pihak industri yang terdiri dalam kalangan alumni PUO kepada pelajar institusi serta sekolah,” katanya. Beliau berkata penganjuran program itu juga telah mendapat kerjasama daripada 15 pempamer terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta individu yang terlibat secara langsung dalam bidang geomatik.
— BERNAMA