Keratan Akhbar : PSH Bantu Individu Asah Kemahiran Selari Perkembangan Dunia Moden

KOLEJ KOMUNITI BETONG
18 January 2024
Lain-Lain

EDISI UKAS, 16 OKTOBER 2023

BETONG: Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) membantu individu untuk terus belajar, mengasah kemahiran, dan mengejar kecemerlangan dalam kehidupan mereka, menjadikan mereka lebih selari dengan perubahan-perubahan dalam dunia moden yang cepat berkembang.

Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu berkata, PSH amat penting bagi setiap individu untuk sentiasa mengemaskini pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki selaras dengan perkembangan dunia yang sentiasa berubah.

“Negara hari ini dihadapkan dengan cabaran-cabaran yang semakin kompleks, seperti perubahan iklim dan paradigma dalam perniagaan, perubahan daripada kedai fizikal ke kedai dalam talian, kemajuan teknologi yang pesat, dan persaingan sengit dalam arena pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Komuniti Madani anjuran Kolej Komuniti Betong 2023 pada Sabtu.

Justeru katanya, konsep PSH memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk kemampuan dan mencapai kegemilangan.

Dalam pada itu, Program PSH Komuniti Madani di Betong telah menjalankan empat kursus serentak iaitu Kursus Asas Orienteering, Kursus Asas Tiktok Marketing, Kursus Asas Pembuatan Sabun dan Kursus Asas Pembuatan Aiskrim dengan penyertaan seramai 102 orang.

Dr Richard Rapu turut berkesempatan menandatangani plak perasmian dan menyampaikan sijil dan anugerah peserta terbaik.

Kursus-kursus PSH ini juga dijalankan serentak di seluruh negara dengan sasaran penyertaan seramai 5000 orang dalam percubaan mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai jumlah penyertaan kursus pendek teramai pada satu masa di Malaysia.

Turut hadir Pengarah Kolej Komuniti Betong Andrew Douglas Gudam, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Temenggung Kueh Tu Teck dan Temenggung Piee Alwi. -EDISI UKAS

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti