Keratan Akhbar : PTPTN teruskan program IMRAN di 14 IPT, Politeknik seluruh negara

POLITEKNIK UNGKU OMAR
13 October 2023
Lain-Lain

 PERAKTASTIC, 11 APRIL 2023

                                                                                                                                     

IPOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di 14 institusi pengajian tinggi (IPT) dan Politeknik seluruh negara yang bermula pada 28 Mac hingga 11 April.

Menurut Pengurus Besar Kanan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail, IMRAN yang merupakan kesinambungan sejak tahun 2021, diteruskan atas faktor sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak. Katanya lagi, sejak berlangsung pada 28 Mac lalu, dianggarkan sebanyak 13,400 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada warga IPT, Politeknik serta masyarakat setempat. “Program IMRAN di IPT dan Politeknik merupakan program signature di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan sejak 2021. Kita mahu ubah tanggapan orang ramai bahawa PTPTN ini pemberi pembiayaan semata-mata, tetapi kami juga ada khidmat masyarakat dengan CSR seperti ini. Program ini melibatkan aktiviti gotong-royong antara kakitangan PTPTN, IPT, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan para pelajar dalam menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat. Program ini antara lain bertujuan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat terutama para pelajar IPT dan mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh rahmat,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini pada Selasa. Hadir sama, Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah dan kakitangan PTPTN. Sementara itu, Shamsuri berkata program gotong-royong penyediaan bubur lambuk itu bermula seawal jam 9 pagi lagi dengan penglibatan seramai 100 orang pelajar dan pensyarah. “Program ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Politeknik dan PTPTN. Saya juga optimis melalui program ini mampu meningkatkan perspektif positif masyarakat tentang PTPTN. Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk akan diagihkan kepada kakitangan, pelajar PUO dan masjid yang berdekatan,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti