Keratan Akhbar : PUO catat kejayaan, pendaftaran pelajar baharu lepas sasaran awal

POLITEKNIK UNGKU OMAR
31 July 2024
MYBERITA

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) mencatatkan kejayaan membanggakan apabila pendaftaran pelajar baharu bagi program Asasi Teknologi Kejuruteraan melepasi sasaran yang ditetapkan.

Seramai 123 pelajar telah mendaftar semalam, mengatasi sasaran asal seramai 100 orang.

Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah, menyatakan rasa syukur dan bangga atas sambutan yang diterima selain berkata pendaftaran ini menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan pelajar terhadap program asasi yang ditawarkan oleh PUO, yang terkenal dengan kemudahan dan kualiti pendidikan teknikal yang cemerlang.

“Ini adalah pencapaian yang luar biasa bagi Politeknik Ungku Omar. Kejayaan ini menunjukkan kepercayaan pelajar dan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan yang kami tawarkan. Kami komited untuk terus memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar-pelajar kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Asasi Teknologi Kejuruteraan di PUO direka untuk memberikan asas kukuh dalam bidang teknologi kejuruteraan, menyediakan pelajar bagi melanjutkan pengajian ke mana-mana universiti teknikal (MTUN) serta persediaan menghadapi cabaran dalam industri.

Selain PUO, beberapa politeknik lain yang turut menawarkan program Asasi Teknologi Kejuruteraan termasuk Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Merlimau Melaka (PMM), dan Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN). Setiap institusi ini juga menyasarkan pendaftaran 100 pelajar bagi program asasi mereka.

Selari dengan itu, PUO terus mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu institusi pendidikan teknikal terkemuka di Malaysia selain menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi dalam bidang teknologi kejuruteraan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti