Harian Metrohttps://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/08/1120033/rezeki-izzul-zafran-dapat-rm35806,
Rompin: Penyertaan sulung penuntut Diploma Rekabentuk Grafik, Izzul Zafran Abd Razak dalam Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship 2024 membuahkan hasil selepas dinobatkan sebagai juara sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Kemenangan dalam pertandingan pensijilan profesional Adobe di Anaheim, California, Amerika Syarikat (AS) itu melayakkan Izzul Zafran, 20, yang juga penuntut tahun akhir Politeknik Muadzam Shah (PMS), di sini, mendapat piala dan biasiswa pengajian berjumlah AS8,000 (kira-kira RM35,806).
Anak jati Bandar Tenggara, Kulai, Johor itu berkata, dia tidak sangka akan merangkul gelaran juara kerana bersaing dengan 46 peserta lain termasuk dua wakil negara yang sebelum ini menduduki tempat pertama dan kedua dalam CCC’s Adobe Certified Professional Malaysia National Championship 2024 Mei lalu.
“Hilang kata-kata dan rasa macam mimpi apabila nama serta rekaan saya terpapar di skrin ketika pengumuman dibuat.
“Saya tertanya juga dalam hati macam mana boleh menang kerana sasarkan berada dalam kelompok 10 terbaik saja.
“Tapi saya bersyukur, anggap kemenangan itu rezeki dan pengalaman mahal yang tak semua orang dapat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, Izzul Zafran yang juga anak kedua daripada empat beradik mengakui gementar untuk mewakili negara dalam pertandingan di peringkat dunia.
Meskipun layak bertanding, Izzul Zafran berkata, laluannya juga tidak mudah kerana berdepan cabaran sebelum dan sebaik berada di lokasi pertandingan.
Bagaimanapun, Izzul Zafran bersyukur kerana keluarga, rakan dan pensyarah Projek Rekabentuk Grafik (GDP) merangkap penyelia, Ts Nurul Fadzillah Abdul Wahab banyak memberi bimbingan hingga dia mampu mengharungi cabaran yang datang.
“Selepas menang kelompok tiga terbaik dan layak mewakili negara, saya terus buat persediaan dengan mengambil masa dua bulan hasil bimbingan pensyarah yang bantu rancang strategi serta berkaitan teknikal.
“Cuma, saya ada masalah berkaitan tajaan dan peruntukan sampai hampir putus asa kerana jumlah duit diperlukan bukan sedikit.
“Tapi keluarga terutama ayah ada bantu daripada segi duit dan syukur kerana akhirnya dapat tajaan daripada Jabatan Pengajian Politeknik Kolej Komuniti.
“Cabaran di sana pula adalah apabila perlu mengharungi pertandingan selama lapan jam untuk hasilkan rekaan dikehendaki dan macam lama tapi singkat sebenarnya untuk saya yang bertanding,” katanya.
Di sebalik kepayahan itu, Izzul Zafran berpuas hati dengan pencapaiannya dan menganggap usahanya berbaloi apabila merangkul kejuaraan.
“Saya bangga juga kerana menjadi produk politeknik yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Misi saya seterusnya adalah memburu kejuaraan dalam VISCOM 23 pula iaitu pertandingan projek akhir Diploma Rekabentuk Grafik kerana pensyarah letak harapan tinggi untuk saya menang.
“Apa pun, kejayaan saya dapat itu baru permulaan dan terima kasih kepada semua yang mendoakan terutama emak ayah kerana jadi penyokong nombor satu serta tulang belakang hingga saya dapat sampai ke peringkat antarabangsa,” katanya yang merancang menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan menjadi pensyarah satu hari nanti.