Keratan Akhbar : SEAWIL Inisiatif Terbaik Jadikan POLYCC Penyedia TVET Bertaraf Global

POLITEKNIK SEBERANG PERAI
12 December 2023
Utusan Malaysia

UTUSAN MALAYSIA ONLINE , 10 OKTOBER 2023

PERMATANG PAUH – Program South East Asia Work Integrated Learning (SEAWIL) 2023 yang melibatkan kerjasama antara politeknik tempatan dengan beberapa politeknik dari Indonesia baru-baru ini dianggap sebahagian inisiatif menjadikan institusi itu sebagai penyedia program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Muhamad Rumzi Mamat berkata, program itu juga selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan di peringkat serantau dan global menjelang 2025.

Katanya, bagi menjadikan Politeknik dan Kolej Komuniti atau POLYCC lebih mandiri, kalis cabaran masa hadapan serta mempunyai kebolehsaingan yang tinggi, maka semua warga POLYCC harus bersedia untuk pergi lebih jauh.

“Ini bermaksud, mereka bersedia untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa bagi menyediakan graduan yang bercirikan global,” katanya ketika Majlis Penutup SEAWIL 2023 di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, semalam.

Selain PSP, SEAWIL 2023 turut melibatkan Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Sabah dan tiga politeknik dari Indonesia iaitu Politeknik Negeri Medan; Politeknik LP3i serta Politeknik APP Jakarta, Indonesia.

Dengan melibatkan sekumpulan pelajar serta pensyarah, program yang berlangsung kira-kira tujuh bulan khususnya secara online itu memberi fokus terhadap usaha mempraktikkan penyatuan teknik pembelajaran secara teoritikal dan pengalaman pembelajaran di tempat kerja.

Dalam pada itu, Pengarah PSP, Roseliza Shaari berkata, menerusi SEAWIL 2023, pelajar akan diberi pendedahan berkaitan dengan situasi permasalahan industri terkini selain berpeluang memperkasakan pengetahuan menerusi pembelajaran secara praktikal.

“Pada masa sama, SEAWIL dilihat dapat mewujudkan jaringan kerjasama antara politeknik di Malaysia dengan industri khususnya melalui perkongsian bijak.

“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan profesionalisme dan kepakaran pensyarah politeknik di negara ini di peringkat antarabangsa melalui pertukaran pengetahuan, pengalaman serta teknologi.

“Selain itu, ia turut membuka ruang dan peluang kepada mereka sebagai penyelia kepada pelajar luar negara dalam menjalankan kajian kes industri bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Wakil daripada Politeknik Negeri Medan, Haris Pinagaran Nasution pula memberitahu, SEAWIL 2023 memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada mereka dan beliau berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa depan.

Turut diadakan sempena majlis penutup ialah majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara PSP serta dua lagi politeknik iaitu Politeknik Metro Tasek Gelugor (PMTG) dan Politeknik Balik Pulau (PBP) dengan 21 rakan kongsi industri. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti