Keratan Akhbar : Takaful IKHLAS realisasikan impian PKB nikmati air bersih

POLITEKNIK KOTA BHARU
25 September 2023
Bernama

KOTA BHARU, 14 Sept (Bernama) — Lebih 5,000 pelajar dan kakitangan Politeknik Kota Bharu (PKB) kini dapat menikmati kemudahan air bersih selepas sebuah telaga tiub dibina melibatkan sumbangan berjumlah RM180,500 daripada Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful Ikhlas).

Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata program itu dilaksanakan dengan kerjasama penyelidikan geologi dan geofizik serta pembinaan telaga tiub oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Ini adalah sebahagian daripada aktiviti di bawah inisiatif pengumpulan dana patuh syariah Takaful Ikhlas iaitu Ikhlas Barakah House (IBH) bagi meningkatkan penyaluran sumber air bersih kepada masyarakat.

Saya difahamkan PKB ini sering dijadikan pusat penempatan sementara apabila kawasan sekitar ditimpa musibah banjir, jadi bekalan air bersih daripada telaga tiub ini bukan hanya dapat dinikmati warga PKB tetapi juga oleh masyarakat sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan dan Perasmian Telaga Tiub di PKB Kok Lanas di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Yayasan Canselor UKM Prof Dr Faizal Mohamed.

Rudy Rodzila berkata telaga tiub dengan kedalaman 100 meter itu menghasilkan air dengan nilai larutan berasid (ph) 6.7 yang mampu menampung keperluan 5,000 pengguna sehari.

Beliau berkata program itu juga dapat menggalakkan lagi aktiviti penyelidikan dan kepakaran warga pendidik serta pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini dalam membawa manfaat kepada masyarakat, industri takaful dan juga bidang pendidikan.

Dalam pada itu katanya dana IBH ditubuhkan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dan aktiviti merangkumi penglibatan masyarakat.

Rudy Rodzila berkata fokus utama mereka adalah memperkasa bidang pendidikan, ekonomi, masyarakat, kesihatan dan juga alam sekitar.

Katanya sehingga hari ini, IBH telah mengagihkan lebih RM5 juta dengan menjayakan 67 inisiatif.– BERNAMA

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti