Keratan Akhbar: Town Hall Rukun Negara dan Kempen Ikrar Perpaduan Tarik 200 Peserta

KOLEJ KOMUNITI TAMPIN
18 September 2024
Lain-Lain

Malaysia Aktif, 12 September 2024

TAMPIN – Program Eksplorasi Rukun Negara ‘Town Hall Rukun Negara dan Kempen Ikrar Perpaduan’ telah menarik minat lebih kurang 200 peserta menyertainya.

“Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan (4P) Rukun Negara dalam diri pelajar atau mahasiswa dan menjadikannya sebahagian daripada sikap dan tingkah laku seharian,” kata Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa ketika merasmikan program tersebut, di sini semalam.

Isam yang turut menjadi ahli panel bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh Suhaimizan Bizar dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Taha Syed Nasser Syed Mohidden, berharap program ini akan mengukuhkan lagi semangat jati diri dan semangat cintakan negara melalui pembudayaan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan Masyarakat.

Town hall (sesi taklimat umum) ini mengupas mengenai konsep Rukun Negara dan penghayatannya melalui moderator Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan Tampin Kamarul Arifin Shari.

Menurut salah seorang peserta Nurul Shahniza Ahmad, 19, program anjuran Kolej Komuniti Tampin, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Perpaduan ini dapat memupuk semangat dan cinta kepada negara melalui penghayatan konsep Rukun Negara.

“Kami (sebagai) pelajar rasa bertuah dapat mendengar pengalaman dan idea yang dikongsi sendiri oleh pemimpin seperti Ahli Parlimen Tampin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gemencheh,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Tampin Hilmi Husaini Omar, Penghulu Mukim Air Kuning Muhamad Shafiq Sidek dan Pegawai Penerangan Daerah Tampin Safwan Saleh.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti