Kerjasama Alumni dan PTSB Lonjak Potensi Pekerja Industri Melalui Diploma Profesional

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
05 December 2024
Uncategorized

PULAU PINANG – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan dengan industri melalui kerjasama strategik bersama alumni yang telah berjaya. Pengarah PTSB, Hj. Mohd Ruzi bin Hamzah bersama Timbalan Pengarah Akademik, Dr. Mohd Nor Azam bin Mohd Dali, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), Encik Mohd Khairul Anuar bin Haron dan tiga pensyarah JKA telah mengadakan kunjungan hormat ke AWR Construction Builder Sdn. Bhd.

Lawatan ini menjadi lebih istimewa apabila disambut oleh Encik Azim Nurhakim Abdul Razak, Pengarah Urusan AWR Construction Builder Sdn. Bhd. yang merupakan alumni Jabatan Kejuruteraan Awam PTSB. Perjalanan kejayaan beliau dari seorang pelajar kepada pemimpin sebuah syarikat pembinaan yang berpengaruh terutamanya di utara, menjadi inspirasi besar kepada warga PTSB khususnya pelajar dan pensyarah.

Kunjungan ini juga membincangkan penawaran Diploma Profesional dalam Pengurusan Pembinaan yang dirangka khusus untuk kakitangan semasa AWR. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan profesional peserta dalam bidang kejuruteraan awam berpandukan keperluan semasa industri.

Inisiatif ini membuktikan komitmen PTSB untuk melahirkan graduan yang kompeten dan relevan dengan keperluan pasaran kerja. Pada masa yang sama, ia mencerminkan hubungan erat antara PTSB dan alumninya yang terus menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi.

Melalui kerjasama ini, PTSB bukan sahaja memperkukuh jaringan dengan sektor industri tetapi juga membuka peluang baharu kepada alumni dan komuniti industri untuk bersama melangkah lebih jauh dalam dunia profesional.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti