Kerjasama erat PSA bersama industri lahirkan graduan responsif pasaran kerja

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
10 August 2024
Akademik, BERITA

10 OGOS 2024, Shah Alam – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) hari ini meraikan kejayaan 833 graduan yang menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang sempena Majlis Konvokesyen Kali ke-25.

Majlis yang diadakan dengan penuh prestij itu melibatkan seramai 206 graduan Jabatan Perdagangan, 272 graduan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, 197 graduan Jabatan Kejuruteraan Awam dan 158 graduan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal termasuk 12 daripadanya graduan Sijil Kemahiran Penyenggaran Mekanikal yang merupakan pelajar OKU masalah pendengaran.

Pengarah PSA, Zainah Rujihan dalam ucapannya berkata, kerjasama erat antara PSA dengan pihak industri amat penting untuk memastikan program pengajian yang ditawarkan terus responsif terhadap keperluan industri dan pasaran pekerjaan.

“Kami amat bertuah memiliki Jawatankuasa Penasihat Industri yang sentiasa memberi maklum balas, cadangan, dan sokongan padu untuk menambahbaik ekosistem TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) di PSA,”

“Peningkatan permohonan kemasukan pelajar baharu bagi Sesi Akademik 1 2024/2025 melebihi 30 peratus berbanding sesi sebelumnya membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang disediakan oleh PSA,” kata Zainah.

Bersempena dengan Majlis Konvokesyen Kali Ke-25, PSA turut memperkenalkan Anugerah Jubli Perak yang diberikan kepada alumni yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang diceburi. Anugerah tersebut diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bliese (M) Sdn. Bhd. Mohd Suhaimi Saifulyang merupakan alumni Diploma Pemasaran.

Sidang Pertama majlis yang berlangsung di Dewan Al Jazari PSA itu disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Mohd Noor Shahudin.

Untuk rekod, PSA mencatatkan 96.1% kadar kebolehpasaran graduan bagi tahun 2023, dengan graduan ijazah sarjana muda memperoleh 100%.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti