Kerjasama strategik POLISAS-GTI dalam hub latihan industri pembinaan

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
24 July 2025
BERITA, Kolaborasi

KUANTAN, 23 Julai 2025 – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Guangxi Technical and Vocational Institute of Industry (GTI), China mencapai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang hub latihan industri pembinaan yang merupakan sokongan penting bagi projek pembinaan Malaysia-China sempena lawatan GTI ke Malaysia-Indonesia bermula pada 22 sehingga 25 Julai 2025.

Lawatan GTI ke POLISAS bertujuan untuk menjalinkan hubungan kolaborasi strategik selepas beberapa siri perbincangan antara kedua-dua belah pihak yang dilaksanakan secara hibrid.

Fokus kolaborasi strategik ini adalah untuk merapatkan jurang dalam piawai pembinaan Malaysia-China dan menyediakan bakat tempatan yang mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam pembinaan China.

Delegasi GTI yang diketuai Naib Presidennya, Tan Guanhui disambut mesra oleh barisan Pengurusan dan Bahagian Kolaborasi serta Pengantarabangsaan POLISAS yang diketuai oleh Timbalan Pengarah (Akademik), Hajah Wan Zuraida Wan Yusoff.

Wan Zuraida Wan Yusoff dalam ucapannya berkata, jalinan kolaborasi ini dijangka dapat mengurangkan jurang perbezaan antara  bidang pendidikan dan industri serta  membuktikan keupayaan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti Politeknik dalam mewujudkan sinergi dengan pemain industri terkemuka bagi mempertingkatkan pembelajaran pelajar dan pembangunan institusi.

Lawatan rasmi ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala antara POLISAS dan GTI malah membuka ruang kolaborasi yang lebih luas dalam memperkasakan bidang TVET di Malaysia.

Kerjasama strategik ini juga dijangka dapat memperkukuhkan lagi ekosistem TVET negara melalui pemindahan teknologi, pertukaran kepakaran, pembangunan kurikulum berteraskan industri serta peluang mobiliti pelajar dan pensyarah.

POLISAS juga turut diundang menyertai Majlis Menandatangani Kolaborasi antara GTI dan MCC 22 Malaysia Sdn. Bhd. bertempat di Hotel Zenith, di sini, selain melawat ke Tapak Pembinaan Projek Malaysia China Kuantan International Logistic Park (MCKILP).

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti