POLIMAS gempur SMK Paya Kemunting perkasa literasi digital

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
26 August 2026
Lain-Lain

POLIMAS mengambil langkah proaktif memperkasakan literasi digital dalam kalangan generasi muda melalui penganjuran program Transformasi Smart Lab @ School di SMK Paya, Kemunting. Anjuran Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) dan Kelab Makers JTMK POLIMAS

Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah mengambil langkah proaktif memperkasakan literasi digital dalam kalangan generasi muda melalui penganjuran Program Transformasi Smart Lab @ School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kemunting (SMKPK), Kedah pada 30 Julai 2026.

Program khidmat masyarakat (CSR) anjuran Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) dengan kerjasama Kelab Makers JTMK POLIMAS itu menyaksikan penyertaan seramai 91 orang pelajar dan 10 orang guru dari SMK berkenaan.

Menurut Pengarah Program, Noraini Mohd Banua berkata, program berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada menaik taraf kemudahan fizikal makmal komputer, malah menjadi platform penting bagi perkongsian ilmu serta kemahiran digital bersama komuniti sekolah.

Katanya, melalui program ini, warga POLIMAS berpeluang mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam situasi sebenar, di samping membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran digital yang lebih kondusif dan selamat.

“Kami berharap pendedahan berkaitan keselamatan siber serta laluan kemasukan ke POLIMAS dapat meningkatkan kesedaran dan menarik minat pelajar untuk meneroka bidang TVET dan teknologi maklumat (IT),” katanya dalam kenyataan pada 2 Ogos 2026.

Sepanjang program berlangsung di Makmal Komputer SMK Paya Kemunting itu, pelbagai aktiviti penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk penyelenggaraan komputer, pembersihan perkakasan, pengemaskinian perisian dan pemeriksaan rangkaian bagi memastikan makmal berada dalam keadaan efisien.

Bagi memastikan keselamatan aset sekolah terpelihara, pihak POLIMAS turut menyumbang dan memasang satu set sistem kamera litar tertutup (CCTV) di makmal berkenaan.

Selain itu, para pelajar turut didedahkan dengan Taklimat Cybersecurity Awareness menerusi slot Pemerkasaan Digital Komuniti yang mengupas isu ancaman siber semasa, langkah pencegahan dan amalan penggunaan teknologi secara beretika.

Sementara itu, Pengetua SMK Paya Kemunting, Hamidatun Md Zain menzahirkan penghargaan di atas usaha murni pihak POLIMAS yang memberikan impak besar kepada warga sekolah.

“Program ini memberikan manfaat yang besar kepada warga sekolah dan membantu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selamat, ceria dan kondusif.

“Pihak sekolah berharap kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya.

Program ini turut memberi ruang kepada 23 orang pelajar POLIMAS sendiri untuk mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerja berpasukan, dan komunikasi sepanjang mengendalikan aktiviti bersama komuniti sekolah terbabit

sumber : https://kitareporters.com/menara/M7e58KvXd2

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti