Ketua Pengarah JPPKK Merasmikan Simposium Kebangsaan Panel Penilai Kesepakaran Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) 2022 

UKK JPPKK
04 October 2022
BERITA

27 September 2022, Port Dickson – YBrs. Ts. Zainab binti Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) merasmikan pembukaan Simposium Kebangsaan Panel Penilai Kesepakaran Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) anjuran Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya (BKPK), JPPKK di sini hari ini.

Simposium yang berlangsung selama dua (2) hari ini menghimpunkan seramai 150 orang Panel Kesepakaran dari seluruh negara. Sebanyak empat (4) modul berkenaan Kriteria Kecemerlangan Skim DH telah dibentangkan oleh pembentang yang berpengalaman. Melalui pembentangan ini juga akan meningkatkan lagi pengetahuan dalam kalangan kesemua ahli panel. 

“Saya amat berbangga kerana simposium ini dapat dilaksanakan dan saya amat hargai kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh semua pihak dalam usaha membantu untuk melestarikan kecemerlangan Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT)”  ujar beliau dalam ucapan perasmian simposium tersebut.

Pada majlis sama turut dilancarkan Garis Panduan Panel Penilai Kesepakaran Bagi Penilaian Kriteria Kecemerlangan Kenaikan Pangkat PPPT.

Turut hadir, Encik Roslee bin Yahya, Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK , Dr. Shamsuri bin Abdullah, Pengarah Bahagian Koordinasi TVET JPPKK yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Ts. Abdul Razak bin Sabtu, Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan JPPKK yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah (Governan), serta Ts. Zainab binti Othman, Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya JPPKK.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti