
Arau, 6 Ogos 2025 – Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Negeri Perlis anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Perlis membuka tirai dengan penuh semangat di Kolej Komuniti Arau (KKA) yang menjadi lokasi persinggahan pertama konvoi berkenaan.
Diserikan dengan penyertaan Kelab Perlis Scooter serta pelbagai agensi kerajaan, ketibaan konvoi di perkarangan KKA disambut meriah oleh warga kampus termasuk pensyarah, staf dan pelajar. Bendera Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh bangga sekaligus menghidupkan semangat patriotisme dan perpaduan sejajar dengan tema Bulan Kebangsaan 2025 iaitu “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.”
Tema kali ini memberi penekanan kepada kepentingan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat dalam kerangka Malaysia MADANI yang berteraskan nilai-nilai murni seperti kemanusiaan, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan dan ihsan. Ia juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat disantuni dengan adil dan saksama, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang bertepatan dengan semangat yang ditunjukkan oleh warga KKA pada program kali ini.
Program ini bukan sekadar simbolik perarakan konvoi tetapi turut menjadi wadah menyatupadukan masyarakat pelbagai latar belakang dalam meraikan kemerdekaan negara yang ke-68 dengan penuh bangga dan rasa tanggungjawab.
Terima kasih warga KKA! Kehadiran dan semangat anda semua telah menyerikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 hari ini. Ayuh terus kibarkan Jalur Gemilang dengan bangga!