JITRA, 22 Ogos 2024 – Kolej Komuniti Arau (KKA) berjaya merangkul dua Anugerah Pingat Emas dan Tempat Kedua Kategori Kelas B Construction & Materials sempena (iCompEx 2024) peringkat antarabangsa di POLIMAS baru-baru ini.
Kejayaan berganda ini membuktikan bahawa pensyarah KKA sentiasa proaktif, inovatif, kreatif dan berdaya saing bukan sahaja dalam bidang akademik malahan bidang inovasi.
iCompEx 2024 merupakan pertandingan inovasi dan penemuan pameran yang dianjurkan oleh POLIMAS sejak 2013 lagi dan disertai oleh para peserta daripada pelbagai institusi dan agensi seperti politeknik, kolej komuniti, universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, institut latihan industri, Institut Kemahiran Belia Negara, agensi kerajaan, sekolah menengah dan sekolah rendah.
Team Evo Fence yang diwakili oleh Kamrul Zaman Hussin, Wan Muhd Zakwan Wan Zin, Rosminey Ahmad, Hasnira Md. Halim dan Zuraida Zulkifli telah memenangi Anugerah Pingat Emas dan Anugerah Tempat Kedua Kelas B Construction & Materials untuk produk EVO FENCE (Pagar Evolusi) manakala Nor Shazwani Shaari turut memenangi Pingat Emas Kategori H (Pengajaran dan Pembelajaran) untuk projek bertajuk Sistem EzyPowerPack.
Anugerah ini adalah platform pengiktirafan terhadap komitmen jitu dan usaha tanpa jemu institusi pendidikan tinggi, tenaga pengajar, para pembimbing dan pelajar untuk memperkasakan bidang inovasi.
Pengarah KKA, Haji Rosnizam Kamis yang turut hadir memberi sokongan dan menyaksikan Majlis Penutup iCompEx 2024 dalam ucapannya berkata projek inovasi KKA terbukti memenuhi standard kualiti yang ditetapkan. “Dengan adanya penganjuran ini dapat meningkatkan kreativiti dan persaingan sihat,” ujarnya.
Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi untuk lebih berjaya pada masa akan datang.