ALOR SETAR, 26 Jun 2024 – Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA) telah memeterai nota kerjasama strategik bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu melibatkan 25 buah Sekolah Menengah Daerah Kubang Pasu, Kedah dan empat rakan strategik iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) Negeri Kedah, Bahagian Elektrikal Dan Mekanikal Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kolej Vokasional Alor Setar dan Pondok Moden Darussalam, Changlun di Hotel Seri Malaysia Alor Setar, Kedah kelmarin.
Program kolaborasi berimpak tinggi ini selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 yang menggariskan hala tuju yang jelas dalam memperkukuh pembangunan bakat dan modal insan negara. Sehubungan dengan itu, KKBDA komited dalam menjayakan dasar yang telah diinspirasikan oleh Jabatan dan Kementerian melalui Pelan Transformasi Politeknik dan Pemerkasaan Kolej Komuniti dalam Ekosistem TVET KPT 2023-2030 serta memberikan sokongan penuh bagi merealisasikan identiti daerah iaitu Kubang Pasu-Daerah Ilmu dan logistik seperti digariskan di dalam Pelan Pembangunan Kubang Pasu 2035.
Majlis kolaborasi ini disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kedah dan Perlis mewakili Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Tuan Haji Rosli bin Idris.
“JPPKK berhasrat agar pendaftaran atau enrolmen pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti mencapai 120,000 orang di seluruh negara pada tahun hadapan. Dengan adanya kolaborasi ini diharap dapat membantu mencapai peningkatan jumlah bilangan kemasukan pelajar ke Kolej Komuniti Bandar Darulaman dan Kolej Komuniti Bandar Darulaman Cawangan Jerlun melalui penglibatan langsung oleh pihak Institusi Pendidikan Menengah,” ujarnya.
Menyokong aspirasi dan hala tuju Kerajaan dalam mencapai matlamat Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif, pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu bersama 25 buah sekolah menengah tersebut dan juga empat rakan strategik ini bersetuju untuk terus memperkasa kemahiran TVET terkini kepada para pelajar dan komuniti setempat.
Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Tuan Mukhtar bin Mansor dalam ucapannya berkata kolaborasi melibatkan sekolah menengah ini adalah julung kali diadakan di Negeri Kedah. Beliau amat berharap kolaborasi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah khususnya untuk membantu pelajar mendapatkan kemahiran terkini secara berterusan termasuk menyambung pengajian di Kolej Komuniti juga menambah pengetahuan melalui Program Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Selain itu, Pengarah KKBDA, Puan Salmah Ijam dalam ucapannya berkata KKBDA akan terus merealisasikan Misi JPPKK iaitu “Memanfaat sepenuhnya perkongsian pintar dengan pihak berkepentingan” untuk manfaat bersama.
Semoga pelaksanaan nota kolaborasi ini dapat memberi impak yang positif kepada institusi, sekolah serta agensi terlibat demi memastikan kepentingan pendidikan kepada para pelajar dan komuniti sentiasa efektif dan berterusan.