KKBDA’s Mini Food Fest 2025, Semarakkan Semangat Keusahawanan Pelajar

KOLEJ KOMUNITI BANDAR DARULAMAN
28 October 2025
Uncategorized

KKBDA’s Mini Food Fest 2025 Semarakkan Semangat Keusahawanan Pelajar

JITRA, 27 Oktober 2025 – Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA) telah menganjurkan KKBDA’s Mini Food Fest 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah di perkarangan kolej, baru-baru ini. Program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kolej serta komuniti setempat yang turut hadir memeriahkan suasana.

Penganjuran festival makanan mini ini melibatkan pelajar Semester 3 daripada dua program pengajian iaitu Program Teknologi Automotif dan Program Teknologi Senibina. Seramai 88 orang pelajar telah mengambil bahagian dengan mengendalikan sembilan khemah jualan yang menawarkan pelbagai juadah menarik hasil kreativiti masing-masing.

Menariknya, selain juadah makanan dan minuman, festival kali ini turut menampilkan gerai gunting rambut dan gerai jualan baju bundle yang dikendalikan oleh pelajar sendiri. Inisiatif kreatif ini bukan sahaja menambah kepelbagaian aktiviti, malah memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran komunikasi, promosi serta pengurusan perniagaan sebenar. Gerai gunting rambut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang ingin mencuba gaya baharu, manakala jualan baju bundle pula menarik perhatian ramai dengan koleksi pakaian terpakai berkualiti pada harga berpatutan.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Puan Salmiyah binti Che Ahmad, program ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran keusahawanan secara praktikal melalui konsep “Doing Business While Studying (DBWS)”, yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar. Pendekatan ini membantu pelajar memperkukuh kemahiran komunikasi, pengurusan masa dan daya tahan dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan sebenar.

Beliau turut menambah bahawa penganjuran aktiviti seumpama ini menjadi wadah penting dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif, inovatif serta bersedia menjadi usahawan muda selepas tamat pengajian.

Sementara itu, menurut Ketua Unit Keusahawanan, Puan Rahanita binti Abd. Rahman, program ini diadakan pada setiap semester sebagai salah satu inisiatif KKBDA dalam memperkasakan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar. Usaha ini sejajar dengan aspirasi TVET sebagai pilihan utama kerjaya, selain memperkukuh kemahiran insaniah dan nilai keusahawanan dalam diri pelajar.

KKBDA’s Mini Food Fest 2025 merupakan anjuran bersama Unit Keusahawanan, Unit Pengajian Am dan Unit Pembangunan Pelajar Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA).

Tahniah diucapkan kepada semua pelajar dan warga kolej yang telah menjayakan penganjuran ini dengan penuh komitmen dan semangat keusahawanan yang tinggi. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja berkemahiran teknikal, tetapi juga berjiwa usahawan, seiring dengan matlamat Kolej Komuniti melahirkan juara TVET negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti