23 September 2023. Chenderoh – Kolej Komuniti Chenderoh terus unggul apabila berjaya memenangi keseluruhan tujuh (7) pingat dalam Pertandingan FHM@Culinaire Malaysia 2023, Edisi ke-17. Pasukan Kulinari KKCP yang diterajui oleh Puan Khairul Ashikhin binti Abdullah Suhami, Pensyarah Utama Program Kulinari bersama tiga orang pensyarah serta tiga orang pelajar menyertai pertandingan ini menerusi tujuh kategori termasuk enam kategori individu dan satu kategori berkumpulan.
Culinaire Malaysia yang berlangsung baru-baru ini pada 19 hingga 22 September 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) telah diadakan dua tahun sekali. KKCP merupakan satu-satunya Institusi Pendidikan Tinggi awam yang berjaya memperoleh kedudukan keenam bagi kategori berkumpulan “Malaysia Tiger Cup – Professional” bersaing dalam kalangan industri hebat di Malaysia antaranya Sama Sama Hotel KLIA dan Banyan Tree Hotel Kuala Lumpur.
“Antara cabaran yang tidak dapat dilupakan ialah apabila peserta diminta untuk menangkap dan menyiang ikan rohu yang masih hidup pada saat-saat akhir untuk dijadikan bahan masakan pada ketika itu.”
Menjadi suatu kelebihan buat pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan berprestij seperti ini apabila dapat didedahkan kepada bidang industri kulinari dan mendapat peluang tawaran kolaborasi untuk “work based learning” bersama hotel bertaraf lima bintang oleh penyedia industri di luar sana seperti Convex KLCC dan Hotel Grand Milllenium KL.
Pencapaian yang bermakna seumpama ini terus dijadikan satu cabaran dan pendorong semangat kepada para pelajar serta pensyarah Program Kulinari secara khususnya dan Kolej Komuniti Chenderoh amnya untuk terus berusaha pada tahap lebih tinggi bukan sahaja untuk dikenali malah menyediakan graduan TVET yang berkualiti memenuhi kehendak industri.
Untuk rekod, Kolej Komuniti Chenderoh telah mula menyertai Culinaire Malaysia dalam acara Food and Hotel Malaysia (FHM) sejak tahun 2003 lagi dan telah merangkul pingat emas buat julung kalinya mewakili Politeknik dan Kolej Komuniti pada tahun 2017 bagi acara “Nyonya’s Heritage Team Challenge.”