
SIMUNJAN, 17 Okt – Kolej Komuniti Kuching (KKKG) dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menanam 700 anak pokok spesies asli bernilai tinggi di Hutan Simpan Sabal di sini, hari ini, sebagai usaha menyokong pemuliharaan hutan dan agenda Penghijauan Malaysia 2.0.
Program kali ini melibatkan 130 peserta terdiri daripada kakitangan JHS, warga dan pelajar KKKG serta komuniti setempat, dengan spesies yang ditanam merangkumi Meranti Putih, Meranti Pitis, Meranti Merah Kesumba dan Merawan Siput Jantan.
Pengarah KKKG, Sumbang Anak Mandaw, berkata penanaman pokok bukan sekadar meningkatkan litupan hijau, malah menjadi platform untuk menyemai kesedaran dan tanggungjawab bersama terhadap kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, hutan berperanan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, menyediakan habitat kepada flora dan fauna, membantu mengawal perubahan iklim, memperbaiki kualiti udara serta mengekalkan keseimbangan alam sekitar.Jadi kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat diperkasakan bagi memelihara kelestarian alam sekitar.
“Usaha memelihara dan memulihkan kawasan hutan tidak boleh diserahkan kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat,” katanya.
“Justeru, program penanaman pokok pada hari ini merupakan satu langkah yang positif dan bermakna. Walaupun sebatang pokok yang kita tanam mungkin kelihatan kecil pada hari ini, pokok tersebut berpotensi memberikan manfaat yang besar kepada alam sekitar dan generasi akan datang,” tambahnya.
Beliau berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti lapangan turut memberikan pengalaman pembelajaran bermakna di luar bilik kuliah, selain membentuk nilai kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap alam sekitar. Beliau turut menyeru pelajar untuk sentiasa, bekerjasama dalam pasukan dan memahami bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan dalam menjaga alam sekitar,
Sementara itu, Pegawai Pemeliharaan Hutan, Bahagian Restorasi, Bong Meng Yan, yang mewakili Pengarah JHS, berkata Sarawak berjaya mencapai sasaran penanaman 35 juta pokok pada 2024, setahun lebih awal daripada jadual di bawah Program Penghijauan Malaysia 1.0 bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Katanya, menerusi Program Penghijauan Malaysia 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, Sarawak menyasarkan penanaman 50 juta pokok bagi meneruskan usaha menghijaukan negeri.
Program itu turut menyaksikan peserta melawat Titian Harapan, titian sepanjang 100 meter yang dibina menggunakan kayu belian sebagai simbol aspirasi menuju kemakmuran hijau sejagat. Titian berkenaan disempurnakan perasmiannya oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada tahun 2024.
Kerjasama antara KKKG, JHS dan komuniti diharap dapat diteruskan bagi memperluas pendidikan alam sekitar serta menyokong usaha pemuliharaan hutan demi kesejahteraan generasi akan datang. Turut hadir Elfy Fariza Sharkawi, Timbalan Pengarah Pengurusan KKKG, Shahidan Anuar, Jurutera JHS dan Mohd Faizal Affendy Zakaria, Ketua Program Sijil Teknologi Senibina selaku Ketua Program Penanaman Pokok.

