
Kuala Lumpur, 21 Mei 2025 – Semangat juang dan keberanian terserlah apabila pasukan Kolej Komuniti Kota Tinggi (KKKT) melakar penyertaan yang membanggakan dalam Kejohanan Petanque Mix Triple Terbuka Kebangsaan 2025 anjuran PV7 Boules Club, yang berlangsung di Taman Pudu Ulu, Kuala Lumpur.
Tiga pasukan daripada KKKT, terdiri daripada lapan orang pelajar dan seorang pensyarah, menyahut cabaran kejohanan bertaraf kebangsaan ini dengan penuh keyakinan. Walaupun berdepan pasukan-pasukan berpengalaman dari seluruh negara, para peserta tampil dengan semangat kesukanan tinggi, membuktikan bahawa usia dan latar belakang bukan penghalang untuk bersaing di pentas besar.
Di bawah bimbingan Coach Ahmad Yazid bin Abu Samah, peserta bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal dalam sukan petanque, tetapi juga memupuk nilai kerjasama berpasukan, ketahanan mental, dan disiplin diri. Kesungguhan beliau dalam membimbing pasukan wajar diberi penghargaan yang tinggi.
Walaupun tidak membawa pulang kejuaraan, penyertaan ini merupakan satu pencapaian bermakna buat pasukan KKKT. Ia membuka ruang kepada para pelajar untuk menimba pengalaman sebenar dalam kejohanan kompetitif serta mengembangkan potensi diri di luar bilik kuliah.
“Ini baru permulaan. Kami harap lebih banyak kejayaan bakal diraih pada masa akan datang,” ujar salah seorang peserta dengan penuh optimis.
KKKT terus komited melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif dan berdaya saing dalam bidang kokurikulum. Kejohanan ini bakal menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih besar dalam dunia sukan tanah air.