EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi bin Ngah (dua dari kiri) meraikan gimik pemotongan daging ketika Majlis Perasmian Kursus Pemprosesan Daging di Kolej Komuniti Sabak Bernam.

KKSB medan Kursus Pemprosesan Daging sebelum ke Australia

KOLEJ KOMUNITI SABAK BERNAM
26 July 2024
Komuniti

Sabak Bernam, 22 April 2024 – Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) dipilih oleh Agensi Pekerjaan Pansomal Sdn. Bhd. (Talentac) untuk menjalankan Kursus Latihan Pemprosesan Daging selama dua minggu dengan memanfaatkan sepenuhnya fasiliti yang sedia ada di Makmal Proses dan Daging, KKSB.

Kursus yang bermula pada 22 Julai hingga 2 Ogos 2024 itu dibimbing oleh Chef Zaha atau lebih dikenali sebagai Iron Butchery yang juga merupakan Pengasas Zaha Butchery Shop.

Kesemua sebelas peserta yang terpilih bagi sesi pemilihan kali ini terdiri daripada komuniti yang berminat untuk menjadi ‘meat processor worker’ di beberapa syarikat berpotensi dalam pemprosesan daging di Australia secara sah dan telah melepasi beberapa syarat kelayakan termasuk memiliki ijazah dalam sebarang bidang.

Semua peserta yang berjaya berpeluang menerima tajaan ‘visa skilled SC482’ sebagai permit yang sah selain mempunyai minat untuk menetap dan bekerja di Autralia untuk jangka masa panjang.

“Bagi mengatasi masalah warganegara bekerja secara tidak sah dan menggunakan permit yang salah untuk bekerja di Australia khususnya, Talentac ditubuhkan untuk menjadi platform yang telus demi meluaskan peluang pekerjaan yang sangat tinggi untuk rakyat Malaysia di sana dan pada masa sama untuk menjaga imej Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Talentac Afred Tan ketika Majlis Perasmian Meat Processing Training yang diadakan di Dewan KKSB hari ini.

Kerjasama KKSB dengan pihak industri melalui program ini memberi impak yang besar kepada usaha meningkatkan jaringan kolaboratif dua hala antara institusi pendidikan dengan agensi tempatan dan pihak industri malah dapat membawa manfaat ke peringkat global.

“Semoga jalinan kerjasama yang dimeterai pada hari ini menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan untuk program-program akan datang, kerana sememangnya kolej komuniti diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat mengikut peredaran zaman dan kesesuaian semasa,” ujar Pengarah KKSB Ahmad Arman Nor Anuar dalam ucapan beliau.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor YB Dr. Mohammad Fahmi Ngah . Turut hadir Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam Ustaz Mohamed Mekkah Baharan dan barisan pelajar daripada Maahad Tahfiz Darul Itqan al-Muhammadi.

YB Dr. Mohammad Fahmi sempat meluahkan rasa syukur atas usaha kerjasama ini dan berharap ilmu dalam bidang pemprosesan daging yang diperoleh di luar negara dapat diaplikasi dan diperluas di Malaysia.

Sebagai makluman, KKSB merupakan sebuah institusi yang menawarkan pendidikan aliran TVET menerusi pendidikan Sijil Teknologi Pemprosesan Teknologi Makanan, Sijil Fesyen dan Pakaian, Sijil Teknologi Elektrik selain daripada Diploma Teknologi Senibina yang menjadi pilihan ramai.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti