KKSB, YEOSU KONGSI KEPAKARAN TVET MELALUI PROGRAM KOLABORASI STRATEGIK  

KOLEJ KOMUNITI SABAK BERNAM
14 January 2025
Akademik, BERITA

SABAK, 13 Januari 2025 – Kolej Komunti Sabak Bernam (KKSB)  hari ini buat julung kalinya menyambut kedatangan rakan kolaborasi dari sebuah sekolah menengah di Yeosu, Korea Selatan.

Program kolaborasi ini merupakan inisiatif KKSB dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sejajar dengan gagasan membina jenama institusi ini di peringkat antarangsa.

Melalui program ini, empat unit pengajian yang ditawarkan di KKSB mengambil peluang untuk memperkenalkan kaedah pendidikan yang diketengahkan kepada para pelajar dan komuniti tempatan di samping memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang berkaitan.

“Kami sangat berterima kasih kepada Kolej Komuniti Sabak Bernam kerana menyambut baik kehadiran kami dan kami amat mengalu-alukan kehadiran para pensyarah dan pelajar-pelajar ke Sekolah Menengah Sains Maklumat Yeosu pula bagi meneruskan lagi hubungan kolaborasi ini dan bertukar kepakaran teknologi dan pengajian”, kata Chou Moo Young, Pengarah Sekolah Menengah Sains Maklumat Yeosu.

Perkongsian dan demonstrasi setiap unit dibuat melalui Program Eksplorasi TVET KKSB selepas Sesi Menandatangani Dokumen Kolaborasi (Surat Hasrat) dengan melawat Makmal Pemprosesan Makanan, Makmal Bakeri, Bengkel Elektrik dan Studio Building Information Modelling (BIM) bagi Program Diploma Teknologi Senibina.

Eksplorasi ini turut dimeriahkan lagi dengan demonstrasi mencanting dan mewarna batik yang dikelolakan oleh Unit Fesyen dan Pakaian KKSB.

Lebih membanggakan, delegasi ini berhajat untuk membawa pulang kuah kacang sate ke Korea setelah menikmatinya ketika melawat fasiliti Makmal Sedia KKSB.

Dengan kemudahan mesin retort yang sedia ada di sini, pensyarah dari Unit Teknologi Pemprosesan Makanan lantas mempersiapkan dan membungkus kuah kacang dengan mengaplikasikan kaedah retort ini sekaligus menerangkan cara penggunaan mesin dan tempoh yang diperlukan.

Terdahulu, Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memandang serius Agenda Pembaharuan Kritikal dalam Hala Tuju  Transformasi Politeknik 2023-2030, CRA 4 iaitu membina jenama politeknik di peringkat antarabangsa. 

Justeru, program hari ini sejujurnya memberi hala tuju dan impak kepada imej dan keterlihatan POLYCC  seluruh Malaysia sebagai penyedia TVET utama negara.

“Pihak kami mengharapkan kerjasama yang berjaya dan berterusan dengan Sekolah Menengah Sains Maklumat Yeousu. Terima kasih atas kunjungan ini, dan semoga hari ini menjadi permulaan perkongsian dalam pendidikan untuk masa depan”, jelas Ahmad Arman Nor Anuar, Pengarah KKSB, dalam ucapan beliau.

“Kami tidak sabar untuk meneruskan gerak kerja untuk bekerjasama, sama ada melalui program perkongsian teknologi dan akademik, inisiatif penyelidikan atau peluang pertukaran pelajar. Dengan bekerjasama, kita boleh mencipta pengalaman pembelajaran berharga yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar kita tetapi juga komuniti kita secara keseluruhan”.

Difahamkan dalam rangka lawatan ke Malaysia, delegasi ini telah dibawa meneroka Bandar Raya Ipoh yang kini turut diiktiraf sebagai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO sebelum dibawa ke KKSB hari ini.

“Sabak Bernam ialah sebuah bandar yang tenang dan meriah yang terkenal dengan landskap pertaniannya, dengan pemandangan sawah padi yang luas yang merupakan sebahagian besar ekonomi tempatan,” terang beliau dalam ucapan tersebut.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti