Kolaborasi TVET Malaysia-Indonesia Raikan Perspektif Dari Pelbagai Wilayah

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
10 November 2024
Akademik, Umum

Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bersama Politeknik Jeli Kelantan (PJK) dan Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) melangkah lebih jauh dalam memperkasakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan termeterainya kerjasama strategik bersama Asosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia (APTISI) Sumatera Utara.

Majlis penandatanganan Letter of Intent (LoI) ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua negara dalam menyediakan platform pendidikan bertaraf antarabangsa. Turut hadir ialah Dr Riam a/p Chau Mai, Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Puan Marzita binti Muhamad Tazi, Timbalan Pengarah Bahagian Kurikulum, JPPKK.

Inisiatif ini membuka peluang luas kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran dan mempersiapkan diri dengan kebolehan yang selari dengan kehendak industri. Intipati utama kolaborasi melibatkan pertukaran tenaga pengajar, latihan praktikal dan projek penyelidikan yang menghubungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman industri sebenar.

Hj. Mohd Ruzi Hamzah, Pengarah PTSB turut berkongsi harapan beliau agar kolaborasi ini menjadi platform kukuh untuk membina bakat yang lebih kompeten dan cekap.

“Melalui kolaborasi ini, kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang di peringkat tempatan tetapi juga bersedia bersaing di peringkat global,” ujar beliau.

Dengan sokongan tenaga pengajar yang berpengalaman dan kemudahan yang disediakan, PTSB yakin bahawa inisiatif ini akan membina ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang mampan bagi kedua-dua negara. Visi Malaysia MADANI dalam memajukan pendidikan inklusif turut ditekankan dengan tekad untuk membawa perubahan positif melalui usaha bersama.

Kerjasama ini diharap membuka peluang kepada penyelidikan inovatif, pembangunan kurikulum yang berorientasikan industri serta memperluas mobiliti akademik antara Malaysia dan Indonesia agar terus melangkah maju ke arah masa depan TVET yang lebih cemerlang.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti