Kolej Komuniti Arau Buktikan Taring Digital di Cyber Warrior 2025

KOLEJ KOMUNITI ARAU
22 July 2025
Aktiviti Pelajar

Mersing, 18 Julai 2025 – Kolej Komuniti Arau (KKA) sekali lagi mengukir kejayaan di peringkat nasional apabila pasukan dari Program Sijil Teknologi Maklumat berjaya membawa pulang dua gelaran juara kebangsaan dan satu pencapaian dalam Top 7 dalam Pertandingan PolyCC Cyber Warrior 2025 yang berlangsung di Politeknik Mersing, Johor dari 15 hingga 18 Julai 2025.

Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi ini menghimpunkan pelajar dari institusi Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia dengan objektif untuk meningkatkan kemahiran teknologi maklumat, menggalakkan persaingan sihat serta mengasah kebolehan penyelesaian masalah dalam suasana kompetitif dan profesional.

Dalam kategori Sustainable App Warrior, pasukan KKA yang terdiri daripada Muhammad Izham Haris Bin Ahmad Zamri, Ahmad Badawi Bin Ahmad Azhar dan Nor Erisya Binti Norazam Shah di bawah bimbingan Cik Nur Nadia Binti Musa telah merangkul gelaran Juara Kebangsaan menerusi aplikasi Samudera Z. Aplikasi ini dibangunkan berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan memberi tumpuan kepada pemeliharaan sumber marin serta pemberdayaan komuniti nelayan melalui penggunaan teknologi pintar seperti pengecaman ikan berasaskan AI, peta marin dan sistem e-Laporan tangkapan.

Dalam masa yang sama, pasukan Network King of The Hill yang diwakili oleh Amir Shaza Bin Zolrisham dan Muhammad Zulhilmi Faisal Bin Abd Rahim di bawah pimpinan En. Mohammad Zabidi Bin Abdullah turut berjaya mengungguli pertandingan dengan menjadi Juara bagi kategori Kolej Komuniti. Mereka menunjukkan penguasaan kukuh dalam simulasi rangkaian menggunakan perisian Packet Tracer serta strategi penyelesaian masalah dalam masa sebenar.

Turut mencatatkan pencapaian membanggakan ialah Muhammad Farhan Wafiy Bin Mohd Sabri yang menyertai kategori Code Rumble. Di bawah bimbingan Puan Azmiah Binti Aziz, beliau berjaya menempatkan diri dalam Top 7 terbaik peringkat kebangsaan daripada puluhan peserta seluruh negara dalam ujian pengaturcaraan intensif.

Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar Kolej Komuniti Arau berupaya bersaing di peringkat tertinggi dalam bidang teknologi dan inovasi digital. Komitmen tinggi daripada pensyarah pembimbing serta usaha gigih para pelajar menjadi faktor utama kejayaan pasukan dalam pertandingan ini.

Seluruh warga kolej mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan ini yang bukan sahaja membanggakan negeri Perlis malah mengangkat nama TVET Kolej Komuniti ke tahap yang lebih tinggi di mata nasional.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti