
KUCHING, 9 Sept – Kontinjen Kolej Komuniti Kuching telah mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai naib johan bagi pertandingan sepanduk kategori G: IPTA/IPTS/Pusat Kemahiran sempena Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1447H/2025M yang berlangsung meriah di Padang Merdeka, Kuching, di sini, baru-baru ini.
Bertemakan “Ummah Maju Makmur”, perarakan ini disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pertubuhan bukan kerajaan yang hadir bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Kontinjen Kolej Komuniti Kuching yang diketuai oleh Ustazah Nouraisyah binti Hussen telah disertai oleh seramai 45 orang yang terdiri daripada kakitangan dan para pelajar institusi ini.
Kejayaan ini membuktikan komitmen serta kesungguhan seluruh warga kolej dalam memupuk semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW di samping memperkukuh ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan peserta. Sebagai penghargaan, Kolej Komuniti Kuching menerima hadiah berupa wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan.
Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang Mandaw menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen yang telah bekerja keras dari peringkat persediaan sehingga ke hari perarakan. Menurut beliau, kejayaan ini adalah hasil usaha berpasukan, semangat kerjasama dan kreativiti warga kolej yang sentiasa berusaha mengharumkan nama institusi.
Beliau turut berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin semangat kepada semua pelajar dan staf untuk terus menyertai aktiviti seumpama ini pada masa akan datang, bukan sahaja demi mengangkat nama kolej, tetapi juga untuk melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia, berilmu serta berdaya saing.