11 November 2024 , Segamat – Telah berlangsung semalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Segamat kali ke 2/2024 di Kolej Komuniti Segamat.
Pengarah Kolej Komuniti Segamat, En Zahid bin Daim mengucapakan ribuan terima kasih kepada YB Hj Anuar bin Abdul Manap merangkap ADUN Pemanis diatas kesudian YB mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Segamat untuk kali ini.
Beliau telah menyentuh bahawa peranan AJK Penasihat Kolej Komuniti dilihat sangat penting sebagai perantara antara komuniti dan Kolej Komuniti. Mereka juga membantu menyampaikan maklumat dan menyampaikan maklum balas samada yang positif atau yang negatif kepada Kolej Komuniti. Dengan ini Kolej Komuniti akan terus relevan selari dengan keperluan Komuniti setempat mahupun keperluan industri.
Selain itu juga, AJK Penasihat turut berperanan memberi khidmat nasihat mengenai perancangan dan strategi pelaksanaan kolej komuniti dalam membangun dan memperkukuh sosio-ekonomi setempat dan pihak berkepentingan pemegang taruh.
Melihat kepada keaktifan Kolej Komuniti Segamat Bersama pihak industry khasnya kejayaan program Industry On Campus (IOC) Kolej Komuniti Segamat, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat, YB Anuar mencadangkan agar Kolej Komuniti Segamat untuk menjadi penyelaras industri daerah Segamat. Beliau berkata “kolej komuniti perlu menjadi sebagai medium kepada keperluan tenaga industri di dalam daerah ini. Dengan ini ianya dapat membantu penyasaran tenaga kerja yang efisyen bersesuaian dengan kehendak komuniti dan industri.”
Pengerusi juga memberikan ucapan tahniah kepada pencapaian hebat Kolej Komuniti Segamat bagi tahun ini seperti MoU bersama pihak industri bagi program Diploma In Security Surveillance Technology, Kolaborasi bersama Institut Teknologi Bandung dan Politeknik Manufaktur Bandung. Beliau juga mencadangkan untuk program pengantarabangsaan boleh pergi negara lain. Beliau berkata “KKS juga boleh pergi ke negara-negara maju seperti China yang kini berkembang pesat dengan teknologi terkini.
Bagi memperkasakan ekonomi setempat Pengerusi mencadangkan Kolej Komuniti Segamat dapat membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Segamat untuk mendapatkan gerai milik MPS. Ianya adalah rentetan projek Tvetpreneurship Asnaf anjuran bersama antara Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Kolej Komuniti Segamat pada awal tahun ini. Peniaga kini telah mempunyai produk retort tersendiri namun masih belum memiliki sijil halal. Melihat kepada perkara tersebut, pengerusi mendapati penting bagi mengupayakan peniaga kecil Daerah Segamat khasnya berkaitan Retort dengan mempunyai sijil Halal. Kini peniaga kecil retort daerah Segamat masih belum mempunyai sijil halal kerana berhadapan isu lokasi perniagaan sebagaimana yang ditetapkan untuk memohon sijil halal.
Selain itu, pengerusi juga mengharapkan belia dapat terus bersama kolej komuniti dengan membantu perbanyakkan lagi aktiviti bersama belia daerah Segamat dengan melibatkan pelajar-pelajar kolej komuniti.
Turut hadir pada mesyuarat ini ialah wakil Pejabat Daerah Segamat, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Segamat, Wakil ADUN Tenang, Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Wakil Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat, Pengerusi Majlis Belia Daerah Segamat, Pengerusi Masjid Bandar Putra, Profesor Yusri dan Penghulu Kanan Daerah Segamat.