Kongsi kegembiraan bersama 500 Pelajar PIS

POLITEKNIK IBRAHIM SULTAN
10 January 2024
Umum

22 Disember 2023, Pasir Gudang – Di saat harga makanan semakin meningkat, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) mengambil langkah proaktif dengan meneruskan Program Kongsi Kegembiraan – Kupon Makan Sesi 2023/2024. Seramai 500 pelajar golongan B40 PIS menerima kupon makan bernilai RM100 dengan jumlah keseluruhan RM50,000 bagi membantu meringankan kos sara hidup di dalam tempoh yang agak menekan ini.

Menurut Pengarah PIS, Tuan Haji Ulaimi Yahya, PIS sentiasa memastikan kesinambungan kebajikan dan keterjaminan dalam menyantuni pelajar sentiasa diutamakan. “Jadinya terbukti melalui pendermaan sumbangan-sumbangan daripada pihak industri dan korporat, ia terus disalurkan sepenuhnya kepada pelajar-pelajar yang berkeperluan. Terima kasih kepada tiga penyumbang utama kali ini, SIRIM QAS International menyumbang RM30,000, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Bank Islam masing-masing berjumlah RM10,000.”

“Kita harap dapat kurangkan beban ibu bapa selain bantu para pelajar mendapat makanan secukupnya bagi memastikan pelajar berkeadaan baik untuk jalani pembelajaran sebaiknya. Kupon bernilai RM100 setiap seorang boleh digunakan pelajar bagi membeli makanan di kafeteria dan kantin yang terdapat di PIS, secara tidak langsung membantu menjana tambahan pendapatan kepada pengusaha kafe dan kantin PIS,” katanya, pada penyerahan kupon makan bagi Program Berkongsi Kegembiraan.

Yee Jia Juan, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berkata “ini kali yang pertama saya menerima kupon makan. Saya merasa amat gembira dan melahirkan kesyukuran dan amat menghargai PIS. Terima kasih membantu mengurangkan beban pelajar.” Mohd Faiz Mohd Iskandar, pelajar Diploma Rekabentuk Grafik berharap program ini diteruskan. “Pemberian kupon makan ini amat membantu kami pelajar yang susah dan RM100 mungkin kecil pada orang lain tapi besar bagi saya untuk menampung perbelanjaan makan di PIS sekurang-kurangnya satu dua minggu.”

Jabatan Hal Ehwal Pelajar PIS yang dipertanggungjawabkan berkaitan hal ehwal pelajar akan terus komited untuk membantu pelajar yang terdiri daripada B40 dan juga M40 melalui kaedah bantuan yang lebih fleksible dan berfokus. Turut hadir pada majlis ini ialah YM Tengku Nadzion Tengku Ibrahim, Timbalan Pengarah Akademik PIS dan Encik Abu Bakar bin Abdul Hamid, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PIS.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti