
JENDELA MADANI
Kontinjen PolyCC Kedah pulang dengan penuh bergaya setelah berjaya menggondol satu pingat emas dan satu perak menerusi MyPolyCC Sports Carnival 2025 (MSC’25) yang berlangsung di Politeknik Kota Bharu, Kelantan.
Pingat emas ini telah dirangkul oleh Pasukan Badminton Kedah selepas menewaskan pasukan dari Sarawak.
Salah seorang pemain utama, Lim Qian Thong, melahirkan rasa syukur dengan kemenangan tersebut.
“Saya sangat terharu dan bangga dapatmenyumbang emas untuk Kedah. Segala usaha dan latihan selama ini akhirnya berbaloi,” katanya.
TUNJUK AJAR JURULATIH
Beliau menghargai atas tunjuk ajar jurulatih dan rakan-rakan sepasukan yang tidak pernah berputus asa.
Sementara itu, pingat Perak diraih oleh pasukan Bola Jaring Kedah yang terpaksa akur apabila tewas tipis kepada pasukan Perak.
Nur Fatin Alieya Zamri, pemain utama pasukan bola jaring berkata pasukannya sudah memberikan yang terbaik ketika berada di gelanggang.
“Walaupun tidak dapat emas, pingat perak ini tetap berharga buat kami. Ia bukti semangat berpasukan dan pengorbanan semua atlet Kedah,” katanya.
DIRAIKAN PENUH BANGGA
Kejayaan ini diraikan penuh bangga oleh Pengarah POLIMAS, Rosli Idris, yang hadir ke majlis penutup sebagai Ketua Kontinjen PolyCC Kedah.
Beliau naik ke pentas utama untuk menerima trofi kemenangan bagi acara badminton.
“Saya amat bangga dengan pencapaian atlet kita. Walaupun berdepan cabaran sengit, mereka telah membuktikan menerusi semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi,” katanya.
POLITEKNIK KOTA BHARU
Majlis penutup yang berlangsung di Politeknik Kota Bharu, Kelantan Darul Naim, disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail.
Beliau turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang.
Pada kejohanan ini, Kontinjen Kedah diketuai oleh Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) selaku ketua kontinjen, bersama enam institusi lain iaitu Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kolej Komuniti (KK) Bandar Darulaman, KK Sik, KK Sungai Petani, KK Kulim dan KK Baling.
Sepanjang lima hari kejohanan, enam acara telah dipertandingkan iaitu Bola Sepak, Bola Tampar, Bola Jaring, Badminton, Sepak Takraw dan Bowling. – JM