
Oleh Dr Azli Muhammad
Bayangkan seorang pelajar di kafeteria kampus. Seorang menambah satu lagi pinggan makanan, manakala seorang lagi merenung dompet nipis yang mengandungi hanya beberapa syiling. Kedengaran dramatik, tetapi inilah realiti bagi kebanyakan pelajar hari ini. Kos sara hidup bukan lagi sekadar isu untuk golongan dewasa yang bekerja. Pelajar universiti kini juga terpaksa menanggung tekanan harga makanan, sewa, pengangkutan, internet, dan bahan pembelajaran. Apabila semua tuntutan ini digabungkan, kehidupan kampus yang sepatutnya penuh dengan pengalaman pembelajaran menjadi lebih mencabar.
Walaupun inflasi di Malaysia dilihat terkawal berbanding negara lain, kesannya tetap dirasai oleh pelajar di bandar besar. Sewa bilik berhampiran kampus semakin tinggi, harga makanan melambung tinggi, manakala keperluan digital seperti internet dan peranti menjadi perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan. Terdapat laporan bahawa perbelanjaan bulanan pelajar universiti boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada lokasi dan gaya hidup. Itu tidak termasuk kos tersembunyi seperti yuran aktiviti, bahan rujukan tambahan atau keperluan asas harian.
Bagi sesetengah pelajar, situasi ini menimbulkan tekanan emosi dan mental kerana mereka perlu lebih memikirkan tentang wang berbanding pelajaran. Ada yang terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kos sara hidup, menyebabkan masa belajar berkurangan dan prestasi akademik terjejas. Ada juga yang memilih untuk mengelak daripada menyertai aktiviti kampus semata-mata untuk menjimatkan wang. Jika keadaan ini berterusan, ia boleh membentuk sikap negatif terhadap pelajaran dan mengurangkan keyakinan diri mereka untuk bersaing dalam pasaran kerja selepas tamat pengajian.
Namun, di sebalik realiti yang menekan, masih ada harapan. Ramai pelajar kini mula menyedari kepentingan mengurus kewangan dengan lebih bijak. Mereka belajar untuk membezakan antara keperluan dan kehendak, malah ada yang cuba mencari bantuan kewangan atau peluang biasiswa. Di pihak universiti pula, beberapa inisiatif seperti penubuhan tabung kecemasan, peluang pekerjaan sambilan di kampus, dan program pengurusan kewangan untuk pelajar baharu semakin mendapat perhatian. Langkah sebegini penting kerana ia bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar, malah memberi kemahiran hidup yang berguna untuk masa hadapan.
Peranan pembuat dasar tidak kurang pentingnya. Bantuan yang lebih bersasar perlu disalurkan kepada pelajar yang benar-benar memerlukannya, supaya sokongan itu tidak tersasar kepada golongan yang kurang terkesan. Selain itu, pelajar universiti yang bekerja sambilan dalam sektor perkhidmatan juga akan mendapat manfaat yang besar jika gaji minimum terus diperkasakan, kerana pendapatan tambahan ini akan membantu mereka menampung kos sara hidup yang kian meningkat
Kos sara hidup pelajar adalah realiti yang tidak dapat dinafikan. Namun, harapan masih ada sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing. Mahasiswa perlu berani dan bijak mengurus kewangan sendiri, universiti perlu lebih peka dengan cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa, manakala kerajaan perlu memastikan dasar yang digubal benar-benar sampai kepada golongan sasar. Pendidikan seharusnya menjadi ruang untuk anak muda berkembang tanpa rasa terhimpit dengan beban kewangan yang berlebihan. Jika kita berjaya mengimbangi realiti dan harapan ini, generasi pelajar hari ini akan dapat melangkah keluar sebagai graduan yang berkeyakinan, berdikari dan berdaya saing.
Pensyarah Utama
Dr Azli Muhammad
Jabatan Perdagangan
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra , Kedah