
Sik, Kedah | 18 Julai 2025 – Program Kembara Jumpa Orang Muda 2.0 (KEMBARA JOM 2.0) anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah telah berlangsung dengan meriah di Dewan Budi Gemilang, Kolej KEDA, Sik, Kedah. Program yang menyasarkan penglibatan belia dari pelbagai latar belakang ini dipenuhi dengan pengisian menarik seperti pameran jabatan dan agensi, aktiviti interaktif serta sesi perkongsian ilmu yang menyokong aspirasi pembangunan belia secara menyeluruh.
Antara aktiviti yang paling mencuri tumpuan pada hari tersebut ialah sesi Doodle Art yang berjaya menarik penyertaan aktif golongan muda untuk berkarya secara spontan dan ekspresif. Aktiviti ini telah dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah dari Kolej Komuniti Arau yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Ts. Hazwani Rifhan Binti Halim dan Ts. Nur Syazalina Binti Hanafi dari Program Sijil Teknologi Senibina bersama Puan Norfauziah Binti Ahmad dari Program Sijil Fesyen dan Pakaian telah membimbing peserta menghasilkan karya doodle yang sarat dengan mesej positif dan imaginasi kreatif.
Lebih daripada sekadar bengkel seni, sesi ini turut dimanfaatkan oleh para pensyarah untuk memperkenalkan program-program pengajian yang ditawarkan di Kolej Komuniti Arau. Promosi berkaitan program TVET khususnya dalam bidang senibina dan fesyen telah dijalankan secara langsung melalui sesi interaksi bersama peserta belia dan pengunjung yang hadir. Menariknya, bagi memperluas capaian promosi kepada khalayak yang lebih meluas secara digital, para pensyarah turut mengambil inisiatif melakukan siaran langsung (live) di TikTok semasa program berlangsung bagi mempromosikan kemasukan ke Kolej Komuniti Arau secara interaktif dan santai. Pendekatan ini selari dengan trend media sosial semasa yang lebih dekat dengan jiwa belia.
Kemuncak acara pada hari tersebut adalah sesi Townhall bersama YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Sesi dialog terbuka ini turut melibatkan penyertaan kepimpinan belia dari seluruh utara termasuk Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri Kedah, Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Majlis Belia Negeri Perlis. Sesi ini menjadi medan penting untuk para belia menyuarakan pandangan, cadangan dan harapan mereka secara terus kepada pihak kementerian dan pemimpin negara.
Menambahkan lagi nilai simbolik terhadap penglibatan belia dalam program ini, YB Adam Adli turut berkenan menurunkan tandatangan beliau pada hasil karya Doodle Art yang dihasilkan bersama peserta. Momen ini bukan sahaja mencerminkan penghargaan terhadap kreativiti belia malah menjadi simbol sokongan kementerian terhadap ekspresi seni dan pemerkasaan potensi anak muda.
Penyertaan aktif Kolej Komuniti Arau dalam program ini membuktikan komitmen institusi dalam memainkan peranan penting di peringkat komuniti. Selain memperkenalkan laluan pendidikan kemahiran, keterlibatan ini juga menjadi bukti bahawa kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dan kementerian mampu menjana impak positif terhadap pembangunan belia negara.