Kunjungan Hormat Politeknik dan Kolej Komuniti Negeri Johor kepada Media Digital Negeri Johor

KOLEJ KOMUNITI SEGAMAT
28 February 2025
Komuniti

Johor Bahru, 27 Februari 2025 – Satu kunjungan hormat yang bersejarah telah diadakan oleh pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Negeri Johor (PolyCC) kepada pihak Media Digital Negeri Johor (MDJ) petang inj. Kunjungan ini turut disertai oleh pegawai perhubungan awam dari pelbagai institusi pendidikan yang berada di bawah naungan Polycc negeri Johor.

Wakil daripada MDJ, Puan Tazrina Binti Ahmad, Pengarah Media Digital Johor mengalu-alukan kunjungan PolyCC negeri Johor. Beliau berkata MDJ merupakan unit di bawah kerajaan negeri Johor yang menguruskan komunikasi dan berita berkaitan kerajaan negeri Johor.

Tujuan utama kunjungan hormat ini adalah untuk membincangkan peluang kerjasama antara MDJ dan PolyCC, khususnya dalam memperkasa bakat kreatif pelajar dalam bidang media digital. Pihak PolyCC mengajak MDJ untuk memanfaatkan kemudahan yang ada di institusi mereka, yang termasuk studio dan ruang kreatif, untuk membantu menyediakan platform bagi pelajar dalam mengembangkan kemahiran mereka sebagai pencipta kandungan (content creators). Kerjasama ini diharap dapat membuka peluang kepada pelajar untuk lebih terlibat dalam industri media dan digital yang semakin berkembang.

Dalam perbincangan tersebut, pihak MDJ juga menunjukkan minat yang tinggi terhadap program ijazah dalam bidang reka bentuk dan media baharu, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka potensi dalam mengembangkan kurikulum yang sesuai untuk memenuhi keperluan semasa.

Pengarah PolyCC Negeri Johor, yang turut serta dalam kunjungan ini, mengalu-alukan kerjasama tersebut dan menyatakan harapan agar inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada pelajar dalam mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi cabaran dunia digital yang pesat berkembang.

Kerjasama yang dijalin ini dijangka akan membuka peluang yang lebih besar dalam dunia media digital dan kreatif, memberi impak positif kepada pembangunan bakat tempatan, dan meletakkan Johor sebagai sebuah negeri yang aktif dalam bidang teknologi dan media baru.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti