Lawatan Balas UCT ke PTSB: Langkah Proaktif Menyediakan Peluang Kerjaya Pelajar

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
01 October 2024
Industri, Penyelidikan dan Inovasi, Umum

Kulim – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) melalui Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) telah menyambut kedatangan Ultra Clean Technology (M) Sdn. Bhd. (UCT) pada 30 September 2024 untuk memperkukuhkan hubungan industri yang dibina sejak lawatan penanda aras pada bulan Ogos yan lalu. Lawatan balas ini membuka pintu kepada kerjasama strategik dalam bidang latihan industri, peluang pekerjaan serta program Reskilling and Upskilling Centre (RUC) yang sedang dirangka.

Pihak UCT menunjukkan kecenderungan untuk mengambil pelajar PTSB bagi latihan industri selama enam bulan serta menawarkan peluang pekerjaan yang menarik kepada graduan dengan gaji kompetitif. Sesi pertemuan di Pusat Kecemerlangan (COT) juga akan diadakan untuk memberi ruang kepada pelajar semester lima JKM khususnya mereka yang mahir dalam bidang kimpalan dan Computer Numerical Control (CNC, untuk menjalani sesi temu duga.

Program ini memberikan peluang besar kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam persekitaran industri yang sebenar.

“Pihak UCT bukan sahaja membuka peluang latihan tetapi juga menjanjikan bimbingan kemahiran kepada pelajar kami, menjadikan ini peluang emas untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari,” ujar Puan Siti Khadijah, salah seorang pensyarah yang turut terlibat.

Kerjasama ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memastikan graduan PTSB mempunyai peluang yang cerah dalam pasaran pekerjaan serta memperkukuh hubungan antara institusi dan sektor industri dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti