Lawatan Menerokai Potensi TVET di KKBBM

KOLEJ KOMUNITI BUKIT BERUANG
06 March 2024
Akademik

16 Januari 2024 , Bukit Beruang – Lawatan Sambil Belajar dan Taklimat Kursus Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka kepada para pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tinggi Cina Melaka telah berlangsung dengan jayanya. Pada lawatan ini para pelajar dan guru pengiring Puan Siti Sahrah Rahmat dan Puan Ting Chee Sing bersama-sama 40 orang pelajar telah diberi taklimat ringkas oleh En. Mohd Arzo Abu Bakar Pegawai Pengambilan dan Cik Shabana Yusoff Ketua Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka (KKBBM).

Pada taklimat tersebut para peserta telah diberi penerangan berkaitan syarat kemasukan dan kelebihan mengikuti pengajian di KKBBM. Selain itu, Cik Shabana Yusof turut memberi penerangan mengenai kursus pendek yang disediakan oleh Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat antaranya Kursus Servis Asas Kenderaan, kursus jahitan seluar palazo, kursus jahitan tudung dan pelbagai lagi kursus pendek menarik yang boleh membantu meningkatkan kemahiran.

Pada lawatan ini Puan Nor Rosmiyana Mahmood Pegawai Perhubungan Industri dan Alumni Kolej Komuniti Bukit Beruang mewakili Pengarah Kolej Komuniti Bukit Beruang menegaskan pengajian dalam bidang TVET bukan lagi pilihan terakhir para pelajar masa kini. Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka sebagai contoh turut menerima permohonan pelajar cemerlang lepasan SPM yang ingin meneruskan pengajian selepas menduduki SPM. Ini membuktikan bahawa kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti menepati kehendak dan minat pelajar. Pelajar yang memperolehi keputusan akademik cemerlang turut berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran. KKBBM menawarkan program sijil kulinari, program sijil operasi perhotelan, program sijil teknologi automotif dan program sijil teknologi elektrik. Program yang ditawarkan di KKBBM ini diiktiraf oleh MQA dan MBOT. Alumni yang berjaya dalam bidang yang diceburi akan dijemput untuk sesi perkongsian bersama para pelajar di KKBBM. Salah satu kekuatan lulusan program TVET ialah mereka mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik. Kelebihan ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik minat majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada lulusan TVET. 

Menurut Puan Siti Sahrah Guru Kaunseling SMJK Tinggi Cina Melaka tujuan lawatan ini dilaksana bagi memberi pendedahan kepada para pelajar beliau mengenai pendidikan TVET yang seharusnya menjadi salah satu pilihan kepada para pelajar selepas menduduki peperiksaan SPM. Beliau berharap pendedahan yang diperolehi oleh pelajar pada hari ini akan membantu mereka membuat pilihan yang tepat dalam menentukan halatuju mereka pada masa akan datang.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti