Liputan Berita : Dai Muda TVET perkasa kemahiran soft skills pelajar Maahad Tahfiz

POLITEKNIK UNGKU OMAR
19 August 2024
SUARA TV

Oleh: Zihan Zari

IPOH – Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ungku Omar (PUO), berkolaborasi dengan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Zikri Wa-Zuhdi, dalam program khidmat masyarakat di sini pada Selasa.

Pegawai Perhubungan Awam PUO, Anita Wafa berkata, bertemakan ‘Dai Muda TVET’ program bermanfaat ini dapat memperkasa pelajar Maahad Tahfiz dengan kemahiran dan keyakinan diri melalui pelbagai aktiviti interaktif.

Beliau berkata, program ini menampilkan aktiviti ‘Fun with English’ melalui permainan interaktif dan sesi perbualan santai, sekaligus memupuk keyakinan peserta dalam penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, aktiviti panduan solat kepada peserta bagi memimpin solat berjemaah dengan tepat yang memperkukuh pemahaman dan keyakinan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai imam.

“Manakala, dalam sesi ‘Canva: Learn Easy’ pula memperkenalkan aplikasi Canva bagi membolehkan peserta mencipta poster dan bahan dakwah secara kreatif.

“Ianya membuka peluang kepada mereka untuk menggunakan teknologi dalam penyebaran mesej dakwah secara efektif,” katanya.

Dalam pada itu, urusetia program, Dr. Ahmad Fkrudin Mohamed Yusoff berkata, program ini memberi manfaat kepada peserta dari segi kemahiran teknikal malah membantu dalam membentuk sahsiah diri dengan lebih mantap.

“Kami percaya peserta akan membawa pulang pengalaman berharga yang dapat membantu mereka dalam kehidupan seharian, termasuk aspek kepimpinan dan kerjasama dalam komuniti.

“Program ini merupakan platform penting untuk membina jati diri generasi muda dan menggalakkan mereka untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan masyarakat.

“Impak positif daripada program ini termasuk peningkatan keyakinan peserta dalam berbahasa Inggeris, dan kesediaan untuk memimpin solat berjemaah.

“Di samping itu, mereka berkebolehan mencipta bahan dakwah yang lebih menarik melalui penggunaan Canva,” katanya.

Tambahnya lagi, program ini bukan sahaja memupuk kemahiran teknikal malah menyemai nilai keagamaan dan kepimpinan dalam kalangan peserta.

“Inisiatif ini diharapkan dapat memperkukuhkan generasi muda dalam usaha membina Malaysia Madani yang maju dan harmoni,” ujarnya. – SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti